Ahad, 13 November 2016

Semangat, komitmen pemain Pahang rendah

ARKIB : 04/02/1999
PAHANG akan mengatasi halangan utamanya dengan menagih komitmen dan semangat daripada para pemain dalam usahanya membentuk pasukan mantap sebagai persiapan menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia musim ini, lapor ZULKEFLI HAMZAH.

Untuk itu, latihan ketenteraan di 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kuala Lipis selama enam hari bermula Isnin lalu diharapkan dapat menyuburkan semula kekuatan mental, fizikal dan semangat pemain.

Pahang yang dibarisi 12 pemain musim lalu, manakala selebihnya pemain Liga Simpanan dan negeri lain ternyata nampak lemah dari aspek itu.

Jurulatih, Alan Davidson yang turut bersama pemain di kem itu mengakui semangat pemain adalah rendah tetapi beliau yakin secara perlahan-lahan boleh ditingkatkan.

''Kalau sudah ada semua ciri-ciri ini, mudahlah untuk saya melakukan perancangan bagi memastikan sekurang-kurangnya satu piala di tangan kita.

''Ini kerana setakat ini semangat pemain begitu rendah dan usaha perlu dilakukan bagi memastikan kedudukan pasukan berada pada tahap yang diharapkan,'' katanya.

Malah beliau telah mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan lain yang dikatakan mempunyai reputasi yang baik untuk melihat kemampuan dan tahap skuad Tok Gajah.

Kata Alan, tujuh perlawanan telah diatur dengan Terengganu, Johor, Johor FC dan Negeri Sembilan dan perbincangan sedang dibuat untuk pertemuan dengan skuad Perak dan Pulau Pinang.

Pahang juga, tambah beliau, berkemungkinan akan berpeluang bertemu dengan pasukan kebangsaan bawah 23 tahun Uzbekistan pada 27 Januari ini.

Dalam menilai kualiti pasukan Pahang yang kebanyakannya dibarisi pemain muda, Alan menyatakan bahawa ia masih menjadi tanda tanya.

''Hanya beberapa pemain mempunyai kualiti yang baik termasuk Azizul Kamaluddin,'' katanya yang turut melahirkan kebimbangannya berikutan kekosongan tiga posisi utama yang ditinggalkan oleh pemain import.

Katanya, beliau kini masih mencari pemain muda termasuk dari skuad Liga Simpanan yang mempunyai kualiti dan bertubuh besar khususnya untuk diletakkan di posisi pertahanan.

Adunan pemain yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) juga tidak memberi banyak pilihan kepada Alan untuk memilih pemain bersesuaian mengikut kehendaknya.

''Tetapi kita perlu bertindak positif, saya selalu tekankan kepada pemain pentingnya kemenangan dalam setiap perlawanan kepada pasukan dan pemain itu sendiri,'' ujarnya.

Dalam latihan enam hari itu, para pemain didedahkan dengan corak latihan ketenteraan termasuk bangun awal pagi dan menghadiri kelas motivasi pada waktu malam.

Semua pemain tidak terkecuali mengikuti aktiviti lasak yang dijalankan walaupun ada yang mengadu tidak tahan dengan corak latihan yang dibuat.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PsPn5RcX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan