Rabu, 16 November 2016

Davidson letak jawatan

ARKIB : 18/03/1999
PASUKAN Pahang bergolak lagi, walaupun persaingan Liga Perdana belum lagi bermula apabila jurulatihnya, Alan Davidson yang baru membimbing pasukan itu Februari lalu, meletak jawatan, semalam.

Jurulatih kelahiran Australia itu baru saja memulakan tugasnya kira-kira sebulan yang lalu telah membuat keputusan yang drastik tersebut kerana alasan masalah keluarga di negara asalnya.

Namun hakikat kepada masalah sebenar dikatakan berpunca daripada para pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang sukar untuk bekerjasama dengan jurulatih baru itu.

Suasana tegang mula dirasai apabila penolong jurulatihnya, Azam Bakar meletakkan jawatan dengan alasan untuk memberi tumpuan kepada perniagaannya.

Walaupun sebelum ini Azam dikatakan juga kurang persefahaman dengan Davidson yang pernah dilatihnya ketika pemain itu menyarung jersi Pahang di posisi pertahanan.

Timbalan Presiden I, Datuk Jamal Abdul Nasir Ismail ketika ditemui di Kuantan, semalam, berkata, pergolakan dalam pasukan Pahang hanya seperti ''berkocaknya secawan air'' tidaklah sampai membuat jurulatih itu meletak jawatan.

Tambahnya, Davidson juga tidak pernah mengadu kepadanya atau kepada setiusahanya, Fuad Daud, tentang sebarang masalah yang dihadapinya.

Katanya, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terpaksa akur dengan keputusan Davidson itu yang dikatakan telah muktamad.

''Kita tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadapnya kerana masalah keluarga adalah lebih penting dan kita cukup memahami.

''Bagaimanapun saya cukup terkejut dengan keputusan itu kerana sebelum ini Davidson cukup bersemangat untuk membentuk pasukan Pahang menghadapi cabaran Liga Perdana,'' katanya.

Davidson yang menggantikan jurulatih dari Denmark, Jorgen Erik Larsen yang membimbing pasukan itu selama dua musim dilihat begitu yakin dan bersungguh memulakan tugasnya dengan melakukan analisis punca kelemahan Pahang.

Menurut Jamal, persatuan cukup berpuas hati dengan khidmat jurulatih itu kerana dalam tujuh perlawanan persahabatan yang dilalui oleh Pahang hanya satu yang tewas.

''Oleh itu tidak timbul soal cara latihan yang dikendalikan oleh Davidson tidak berkesan kerana dia cukup berpengalaman dan mempunyai lesen A kejurulatihan,'' katanya.

Perkembangan terbaru ini terus menyebabkan para pemain dan pengurusan Pahang tertekan kerana masa yang ada untuk membuat persiapan menentang Sarawak pada 20 Mac ini terlalu suntuk.

Sehubungan itu, Jamal berkata, penolong jurulatih, Fuzaimi Ibrahim akan mengambil alih tugas Davidson dan akan turut dibantu oleh penolong jurulatih yang baru, Nazri Mohd. Nor.

Davidson yang masih berada di Kuantan dijangkakan akan menyampaikan surat peletakkan jawatannya secara rasmi kepada PBNP pukul 11 pagi hari ini.

Oleh: BORHAN ABU SAMAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4QAhZ8uOo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan