Jumaat, 11 November 2016

Alan jurulatih Pahang

ARKIB : 08/01/1999
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memilih bekas pemain importnya, Alan Davidson dari Australia sebagai jurulatih baru bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia.

Presiden PBNP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pemilihan jurulatih itu dibuat berdasarkan pengalamannya yang luas serta mempunyai kelayakan untuk melatih skuad Pahang.

''Sebagai bekas pemain Pahang, Alan memang berminat untuk menabur bakti kepada pasukan ini dan hasrat itu pernah disuarakan beberapa kali sebelum ini,'' katanya pada majlis menandatangani kontrak pemain-pemain Pahang bagi Liga Malaysia 1999 di Kuantan, semalam.

Selain itu kata Tengku Abdullah, Alan juga mempunyai kelayakan yang diperlukan serta berpengalaman menjadi jurulatih beberapa pasukan di Australia sebelum ini.

Beliau berkata, Alan akan menjadi jurulatih dengan kontrak setahun dengan dibantu oleh dua jurulatih tempatan, Fuzaimi Ibrahim dan Azam Abu Bakar.

''Pemilihan Alan bukan disebabkan PBNP tidak menaruh kepercayaan kepada jurulatih tempatan, tetapi mahu mereka menimba pengalaman daripada jurulatih asing terlebih dahulu,'' katanya.

Alan pernah menyumbang bakti kepada skuad Tok Gajah sebagai pemain pertahanan dari 1991-1996 serta turut membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada 1992.

Beliau dijangka akan memulakan sesi latihan pada penghujung bulan ini iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Turut diumum pada majlis semalam ialah pelantikan pengurus pasukan baru, Talib Sulaiman dan pembantunya, Kamaruddin Raof.

Talib merupakan bekas pemain Pahang yang kini bertugas sebagai penghulu di Mukim Sanggang, Temerloh manakala Kamaruddin adalah Ketua Kampung Galing Besar, Kuantan.

Sementara itu, 20 pemain termasuk lapan muka baru menandatangani kontrak semalam, sementara dua pemain yang sedang menjalani latihan dengan skuad kebangsaan, Zuraimi Hassan dan Ahmad Shaharuddin Rosdi akan menandatangani kontrak di Kuala Lumpur.

Pemain lama yang dikekalkan ialah Muadzar Mohamad, Ali Tahar, Khairul Anuar Abdul Karim, Ahmad Shukri Mustafa, Azaruddin Aziz, Khairul Niza Mustafa, Baharuddin Abdullah, Suhaimi Md. Noor, Azhar Kamaluddin, Azizul Kamaluddin, Shahrulnizam Sahat dan Jalaluddin Jaafar.

Sementara muka baru terdiri daripada ialah Azihan Kamaruddin, Mohd. Khairul Nizam Hanif, Tuan Rosli Tuan Shaari, Wan Rohaimi Wan Ismail, R. Ramachandran, Mohd. Rizaluddin Abdul Ghani dan Darulnazri Daniel.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Phd3zwkZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan