Jumaat, 18 November 2016

Pahang terus ditimpa malang

ARKIB : 21/03/1999
SARAWAK melakarkan kemenangan pertama apabila mengalahkan Pahang 4-3 menerusi tendangan penalti pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, Petra Jaya, semalam, lapor ANUAR ARIFFIN.

Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Bobby Chua, Ramos Sari, Nazri Yunos dan Ibrahim Mantali.

Sementara gol-gol Pahang diperoleh melalui Azahar Kamaluddin, Ahmad Shaharuddin Rosli dan Azizul Kamaluddin.

Kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Bermain di atas padang yang licin, kedua-dua pasukan memperlihatkan permainan yang berhati-hati terutama ketika melancarkan serangan.

Disaksikan hampir 10,000 penonton, skuad Bujang Senang terlebih dahulu memulakan ancaman melalui percubaan Ramles Sari pada minit kelima.

Bagaimanapun, tendangan Ramles melepasi sasaran.

Dua minit kemudian giliran kembarnya, Ramos membuat percubaan tetapi rembatannya berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol lawan, Muadzar Mohamad.

Biarpun dibimbing dengan jurulatih bidan terjun, Fuzeimi Ibrahim, gara-gara peletakan jawatan Alan Davidson, Pahang bertindak garang dengan melancarkan serangan-serangan balas.

Namun begitu, sentuhan barisan hadapannya yang diterajui Azizul Kamaluddin, Khairul Nizam Sahat dan Ahmad Shaharudin Rosli gagal merobek pertahanan Bujang Senang.

Skuad Tok Gajah hampir memperoleh gol pembukaan pada minit ke-24 tetapi rembatan Azizul berjaya ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahed.

Ramles Sari menampakkan penampilan mendadak dengan sekurang-kurangnya lima percubaannya hampir membuahkan jaringan.

Kedua-dua pasukan terus berusaha gigih mencari jaringan sebaik saja perlawanan separuh masa kedua disambung semula.

Pemain lincah, Safri Amit hampir menceriakan skuad Sarawak tetapi kesempatan yang diperoleh minit ke-59 dan 61 gagal dimanfaatkan dengan tepat.

Dua minit kemudian, Ramles mempunyai peluang terbuka untuk meletakkan Sarawak di hadapan tetapi tendangannya lemah dan melencong keluar.

Pahang bertindak balas dan percubaan Azaruddin Aziz minit ke-67 hampir mendatangkan padah kepada pasukan tuan rumah.

Pemain Pahang, Shahrul Nizam Sahat diperintah keluar padang oleh pengadil, Nazri Abdullah kerana memperoleh kad kuning kedua pada minit ke-87.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4QLWK1a5X © Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan