Selasa, 12 September 2017

Tok Gajah perlu mantap layan Bos Gaurus



Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
PEMAIN tengah Pahang, Nor Azam Azih yang membantu skuad itu layak ke suku akhir Piala Malaysia mengakui prestasi yang dipersembahkan bersama rakan sepasukan belum cukup mantap.

Justeru, Azam yang membantu skuad negara meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini mahu segala kelemahan dapat diperbaiki sebagai persediaan menghadapi Perak yang dilihat jauh lebih hebat.

Namun katanya, kejayaan skuad Tok Gajah mengisi slot lapan pasukan terbaik Piala Malaysia sudah cukup melegakan kerana pengesahan itu hanya diketahui pada aksi terakhir Kumpulan A selepas menewaskan T-Team 3-2.

“Kami harap pertemuan dengan Perak adalah detik kebangkitan yang akan dipersembahkan terutama dari segi prestasi untuk memastikan misi ke final piala itu menjadi kenyataan.

“Pada masa sama, kami dapat mengulangi kejayaan Pahang muncul juara berganda Piala Malaysia pada 2013 dan 2014,” kata pemain beruumur 22 tahun itu, hari ini.

Nor Azam yang menjaringkan satu gol ketika Pahang menewaskan T-Team 3-2 Sabtu lalu berkata, prestasinya juga akan dipertingkatkan kerana masih belum berada pada tahap terbaik.

Pemain kelahiran FELDA Jengka 21, Maran itu menganggap masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperkemaskan lagi skuad itu kerana Perak memiliki barisan terbaik mereka.

“Dengan prestasi semasa, kami perlu lebih berwaspada dan memastikan perlawanan pertama berakhir dengan kemenangan untuk melangkah ke pusingan seterusnya,” jelasnya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 3:24 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan