Jumaat, 22 September 2017

Piala AFC: Pahang kalah lagi



ARKIB : 21/03/2007

KUANTAN - Bekas pemain import Perak, Baichung Bhutia muncul hero apabila jaringannya membantu kemenangan Mohun Bagan dari India menewaskan Pahang 2-1 dalam perlawanan bola sepak Kumpulan F Piala AFC di Stadium Darul Makmur, semalam.

Kekalahan kedua buat juara Piala FA selepas tewas 4-0 kepada Osotpa M-150 FC, 6 April lalu, melihat Pahang terpelosok di tangga terbawah Kumpulan F tanpa mengutip sebarang mata.

Gol pendahuluan pasukan pelawat diperoleh menerusi Lalawmpuia Pachau yang merembat bola masuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Iqbal Suhaimi pada minit ke-30.

Terdahulu, Tok Gajah memperoleh peluang terbaik menerusi Mohd. Kamal Rodiarjat Mohd. Ali pada minit ke-19 tetapi percubaannya melewati palang gol.

Namun begitu, Pahang akhirnya berjaya menemui sentuhan gol apabila sepakan percuma ketua pasukan, Rosdi Talib berjaya disempurnakan oleh pemain import kelahiran Maghribi, Tarik Al-Janaby yang menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-60.

Gol kemenangan Mohun Bagan dijaringkan oleh Bhutia pada minit ke 74.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan D di Stadium Kebangsaan Male, Maldives, Negeri Sembilan sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Victory SC.

Ini adalah keputusan seri kedua buat Negeri Sembilan selepas terikat tanpa jaringan berdepan Hoa Pat Hanoi dari Vietnam, 6 Mac lalu sekaligus kekal di tangga kedua di belakang pendahulu Ziangxue Sun Hei dari Hong Kong dengan mengutip dua mata.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tPcmJmnu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan