Isnin, 18 September 2017

'Modal dua gol tak cukup kuat'


Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
KELEBIHAN dua jaringan belum menjamin Pahang layak ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini, susulan kejayaan menewaskan Perak 3-1 pada suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Penolong pengendali Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi berkata, kejayaan Bos Gaurus memperoleh satu gol pada aksi itu bermakna ia memerlukan aksi lebih kemas dipersembahkan mereka apabila bertandang ke Stadium Perak bagi aksi kedua minggu depan.

Menurutnya, aksi kedua di tempat lawan memerlukan skuad kendaliannya mendapatkan gol awal bagi memberi tekanan kepada tuan rumah.

“Kami ada sedikit modal (bekalan dua gol) dan pada masa sama kami akan berusaha menyekat rentak Perak.

“Saya berpuas hati dengan semua pemain yang dapat menguasai permainan dengan baik dan menjaringkan tiga gol,” ujarnya.

Mengulas kemenangan itu, Shaharuddin berkata, skuadnya bermula dengan baik dan berjaya menyempurnakan tiga gol pada separuh masa pertama.

“Misi kami untuk mencatat kemenangan sudah menjadi kenyataan malam tadi. Pemain memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri dengan baik dan ia sudah membuka peluang kepada kami melangkah ke separuh akhir,” katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:08 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan