Jumaat, 22 September 2017

Selangor, Pahang terus pasrah



ARKIB : 15/03/2007

KUALA LUMPUR – Pahang terus kempunan untuk meraih kemenangan apabila pulang hampa dengan satu mata setelah diikat dengan keputusan seri 1-1 berdepan Selangor di Stadium Darul Makmur, semalam.

Kemenangan seakan-akan berpihak kepada Pahang setelah mendahlui Selangor 1-0 menerusi jaringan Syed Fahrul Hakim pada minit ke-21.

Namun impian itu lebur pada minit ke-68 apabila pemain pertahanan lincah Selangor, D. Surendren meledakkan jaringan penyamaan.

Keputusan seri buat Selangor sudah memadai biarpun kian terhimpit berada di pertengahan Liga Super.

Di Stadium Sarawak, Sarawak gagal meraih kemenangan apabila seri 3-3 ketika bertemu Terengganu.

Pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama seawal minit keenam menerusi Fabio Flor sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Ramos Sari pada minit ke-25.

Sarawak mendahului menerusi Robert Eshun pada minit ke-36 tetapi tandukan Ahmad Shahril Zakaria mengikat kedudukan.

Gol ketiga menyusul buat Sarawak mendahului 3-2 hasil ledakan Romeo Kambou pada minit ke-62 namun jaringan Che Hishamuddin Hassan empat minit selepas itu menyelamatkan Terengganu daripada tewas.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka sekadar mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Pulau Pinang.

Ketinggalan 0-2 apabila Pulau Pinang mencipta dua jaringan menerusi Mohd. Saufi Ibrahim pada minit ke-39 dan Zulhisham Jamaluddin pada masa kecederaan babak pertama hendak ditamatkan.

Namun Melaka menyamakan kedudukan menerusi jaringan Richard Privitzer (m-77) dan gol A. Ganeson (m-85).

Di Stadium Negara Hasanal Bolkiah, Brunei DPMM terus mengukuhkan kedudukan untuk berada di tangga kedua di belakang pendahulu Perak setelah menewaskan Johor FC 3-1.

Kemenangan tersebut memastikan Brunei DPMM mengutip 24 mata memintas Perlis yang tidak beraksi semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tPBABgRu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan