Sabtu, 16 September 2017

Pahang lega ditangga kedua



ARKIB : 24/01/2007
ROMPIN – Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PNBNP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melahirkan rasa bangga dengan skuad Pahang yang kini berada pada tangga kedua Liga Super selepas mengharungi tujuh perlawanan musim ini.

Menurut beliau, kewibawaan ketua jurulatih Pahang, Ahmad Yusof nyata terserlah dalam membimbing skuad Tok Gajah, yang rata-rata dibarisi pemain muda.

‘‘Saya berharap Pahang dapat mengekalkan prestasi dan rentak permainan dan saya yakin dengan persiapan rapi, Ahmad mampu melonjakkan skuad ini ke kedudukan teratas liga,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Tabung Bencana Banjir TV3 kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Serok, di sini, semalam.

Skuad bimbingan Ahmad Yusof kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 14 mata di belakang pendahulu liga, Perlis yang memungut 17 mata.

Dengan satu kekalahan, pencapaian Pahang boleh dianggap berjaya kerana Pahang gagal membariskan pemain utama disebabkan masalah kecederaan selain dipanggil mengikuti latihan pasukan kebangsaan.

Tengku Abdullah mengingatkan para pemain muda skuad itu agar meningkatkan prestasi masing-masing supaya dapat beraksi lebih baik.

‘‘Dengan semangat, kesungguhan dan kemahiran yang setimpal saya percaya mereka akan dapat beraksi dengan baik,” kata beliau.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4spKkLYll
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan