Isnin, 11 September 2017

Perjalanan Tok Gajah masih jauh



ARKIB : 03/01/2007

KUALA LUMPUR – Jurulatih Pahang, Ahmad Yusuf mengingatkan anak buahnya agar tidak sesekali terbawa-bawa dengan kedudukan ketiga mereka dalam persaingan bola sepak Liga Super sekarang.

Katanya, enam mata yang turut diperoleh daripada tiga perlawanan Tok Gajah memang diidamkannya tetapi perjalanan liga masih jauh dan banyak pasukan yang perlu ditentang musim ini.

“Pahang perlu berpijak di bumi nyata dengan kedudukan ini. Mungkin hari ini kami berada di antara kelompok teratas tetapi kalah perlawanan berikutnya mampu menurunkan kami tiba-tiba,” katanya.

Tok Gajah bagaimanapun masih boleh berbangga kerana mampu mengutip dua kemenangan di tempat lawan, masing-masing ke atas Melaka dan Telekom 2-1 selain berterima kasih dengan aksi cemerlang Rashid Mamud.

Tiga jaringan pemain berusia 28 tahun itu sekali gus menampung ketiadaan ayam tambatan Pahang, Indra Putra Mahyuddin yang tercedera kaki dan masih menjalani pemulihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pahang yang kalah 2-1 dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah, 16 Disember lalu, bakal bermain selaku tuan rumah kali pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan dengan menanti kunjungan DPMM Brunei.

“Kesungguhan pasukan telah terbukti dengan kemampuan memenangi dua perlawanan di gelanggang lawan. Kali ini kami ada alasan yang lebih kuat untuk menang kerana turun sebagai tuan rumah.

“Ia juga akan menggalakkan lebih ramai peminat ke stadium dan menyokong kami sepanjang musim ini,” kata Ahmad yang menggantikan Zainal Abidin Hassan selepas cuma menjadi penolong jurulatih, musim lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4sMYHCC3X
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan