Ahad, 17 September 2017

Pahang mudah jinakkan Perak



Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
 
PEMAIN Pahang, Mohd. Afif Amiruddin meraikan jaringan kedua sambil mendukung rakan sepasukan dalam aksi menentang Perak pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

PAHANG mengutip bekalan agak selesa apabila berjaya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Perak pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2017 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, Pahang yang beraksi selaku tuan rumah menepati ramalan apabila mempamerkan rentak serangan bertali arus seawal babak pertama dalam usaha mengenal pasti kawasan longgar di barisan pertahanan The Bos Gaurus.

Selepas beberapa percubaan, Pahang akhirnya menjaringkan gol pertama menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-35 sebelum disusuli jaringan kedua oleh Mohd. Afif Amiruddin berselang dua minit kemudian.

Semakin bersema­ngat sejurus menyaksikan kejayaan menghasilkan ja­ringan kedua, tiba giliran ketua skuad Tok Gajah, Matthew Davies pula menggegarkan jaring gawang Perak pada minit ke-40 untuk terus menjarakkan kedudukan.

Memasuki babak kedua, Perak tampak cuba bangkit dengan melakukan asakan ke pintu gawang Pahang terutama pada sepanjang lima minit pertama, namun skuad tuan rumah pantas melancarkan serangan balas sekali gus memaksa The Bos Gaurus kembali bertahan.

Terlalu ghairah me­lancarkan serangan yang tidak seimbang dengan keperluan bertahan, kelalaian Pahang akhirnya dihukum apabila penye­rang The Bos Gaurus, Gilmar Jose Da Silva Filho menggegarkan jaring gawang skuad Tok Gajah pada minit ke-68 bagi mencetak kedudukan 3-1 yang kekal sehingga tamat tempoh 90 minit perlawanan.

Mengulas aksi kemenangan itu, pemangku jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi mengakui lega sejurus menyaksikan para pemain skuad Tok Gajah menja­ringkan tiga gol pada separuh masa pertama sekali gus menggugat semangat The Bos Gaurus.

“Alhamdullilah, segala perancangan berjaya dilakukan oleh semua pemain dengan lancar. Saya harap kemenangan ini akan menjadikan pemain lebih bersemangat untuk membawa Pahang ke separuh akhir,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4swnVnWSh
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan