Sabtu, 23 September 2017

Tengku Muda Pahang Presiden PBNP



ARKIB : 29/04/2007

Oleh Aizawati Ahmad

KUANTAN 28 April – Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menang tanpa bertanding untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selepas kekandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan itu setelah 23 tahun menerajui persatuan tersebut.

Tengku Abdul Rahman yang sebelum ini merupakan penyandang jawatan Timbalan Presiden PBNP diumumkan sebagai presiden baru pada Mesyuarat Agung Tahunan PBNP Ke-51 di Hotel Grand Continental di sini, semalam. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak dapat hadir ke mesyuarat berkenaan kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PBNP.

Exco Pahang dan juga bekas pengurus pasukan Tok Gajah, Datuk Shahiruddin Ab. Moin mengisi tempat bagi jawatan Naib Presiden I PBNP manakala Datuk Mustaffar Kamal A. Hamid selaku Naib Presiden II PBNP.

Bagi dua lagi kekosongan tempat untuk jawatan Naib Presiden PBNP akan dilantik sendiri oleh Tengku Abdul Rahman dalam masa terdekat ini.

Pada majlis itu juga, sebanyak 10 orang telah terpilih memegang jawatan Ahli Majlis Halimi Kamaruzzaman.

Tengku Abdul Rahman merupakan presiden yang ketiga menerajui PBNP yang ditubuhkan pada 14 Ogos 1959 selepas Sultan Ahmad Shah menyandangnya pada tahun 1959 hingga 1984 dan Tengku Abdullah pada 1984 hingga 2007.

Dalam pada itu, Muhammad Safian ketika ditemui berkata, sebagai Timbalan Presiden PBNP yang baru, beliau akan memastikan kedudukan kewangan persatuan itu benar-benar kukuh dengan mengamalkan dua pendekatan iaitu meningkatkan hasil dan mengurangkan kos pengurusan persatuan.

‘‘Selain berperanan menggerakkan persatuan-persatuan bola sepak di setiap daerah, saya juga akan mencari jalan terbaik untuk memastikan kehadiran penonton ke stadium turut meningkat,” katanya.

Menurut Muhammad Safian, sokongan moral daripada para peminat bola sepak tempatan amat diperlukan bagi menyuntik semangat pasukan Pahang untuk beraksi dengan lebih baik pada setiap perlawanan yang mereka harungi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tYbJwVqy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan