Khamis, 21 September 2017

Shaharudin puas aksi pemain simpanan



Khamis, 21 September 2017 | 10:17am
 
PEMAIN Pahang, R.Kogileswaran melayangkan badan untuk menjaringkan gol pertama ketika menentang Sarawak pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur malam tadi. - Foto BERNAMA
Shaharudin puas aksi pemain simpanan
Oleh Asrol Awang
bhsukan@bh.com.my

KUANTAN: Kejayaan merampas kedudukan kedua Liga Super begitu bermakna buat skuad Pahang, selepas merakam kemenangan 3-0, ke atas Sarawak dalam aksi di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Lebih membanggakan, kemenangan yang membolehkan skuad Tok Gajah memintas kedudukan Kedah di tangga kedua itu diraih hasil komitmen tinggi pemain yang majoritinya daripada kelompok yang berada di bangku simpanan.

Bagi Penolong Jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi - pemain yang diberi tanggungjawab selaku pemain utama memberikan komitmen tinggi dengan mempamerkan persembahan bertenaga.

"Pemain sudah membuktikan kesungguhan mereka, apabila diberi peluang, mereka juga setaraf dengan pemain utama dan bersedia diserapkan pada bila-bila masa.

"Saya juga mengakui Christie Jayaseelan dan Faisal Abdul Halim mempamerkan persembahan mantap. Mereka banyak membantu pasukan meraih tiga mata," katanya.

CHRISTIE Jayaseelan (kiri) meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan selepas meberikan persembahan bertenaga. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

Pada perlawanan malam tadi, tiga gol Pahang, masing-masing dua gol sumbangan Christie dan R Kogileswaran berjaya melonjakkan skuad Tok Gajah ke tangga kedua Liga Super.

Sementara itu, Christie mengakui bertuah dan berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk berada dalam kesebelasan utama.

Katanya, dua gol dijaringkan itu memberi motivasi kepadanya untuk terus bekerja keras selepas ini, dan paling penting, sumbangan itu berjaya memastikan Pahang memperoleh tiga mata.

"Kemenangan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen tinggi rakan sepasukan," katanya
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 21 September 2017 | 10:17am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan