Isnin, 26 Jun 2017

Tok Gajah enggan dabik dada



ARKIB : 16/05/2006
KUANTAN - Pahang tidak memandang mudah dan enggan mendabik dada apabila hanya meletakan peluang 50-50 untuk mereka muncul juara piala FA buat pertama kali pada Sabtu ini apabila menentang pasukan Perlis.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Shahiruddin Abd. Moin berkata, pasukannya tidak memandang sepi kekuatan Perlis dan akan berjuang habis-habisan untuk memastikan mereka muncul juara.

“Pahang perlukan kemenangan,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas persiapan Piala FA di sini, semalam.

Pahang kata beliau, akan menurunkan kesebelasan utama kecuali kelibat pemain import dari Cameroon, Bernard Samuel Tchoutang yang mengalami kecederaan dan ketua pasukan, Rosdi Talib yang digantung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

Bagaimanapun tambah beliau, kemenangan untuk pasukan Pahang tidak hanya bergantung kepada kesebelasan utama pemain tetapi juga bergantung harap kepada sokongan para peminat negeri itu di Stadium Bukit Jalil.

Jelas beliau, sokongan peminat akan mampu menaikkan lagi semangat para pemain dan membolehkan negeri berkenaan muncul juara FA untuk pertama kali.

Sejak kempen Piala FA mula diperkenalkan pada 1990, Pahang sekadar muncul naib juara pada 1995 tewas 3-1 kepada Sabah.

Ujarnya, bukan hanya pemain yang mengalas tanggungjawab untuk menang tetapi rakyat Pahang juga perlu memperlihatkan kecintaan mereka kepada pasukan negeri berkenaan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l61GTpUH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan