Isnin, 26 Jun 2017

NS Naza ghairah jumpa Pahang



ARKIB : 13/05/2006
Oleh Ainol Amriz Ismail

SEREMBAN - Walaupun beraksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini, Negeri Sembilan Naza tidak pernah gelisah biarpun hanya bersandarkan keputusan seri tanpa jaringan untuk turun menentang Pahang dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala FA ini.

Jurulatih Negeri Sembilan Naza, K. Devan berkata, biarpun pemergian ke Pahang, tanpa kehadiran dua pemain Ching Hong Aik yang cedera di lutut pada pertemuan Liga Super menentang Perlis lalu serta import, Jason Williams juga cedera ditempat sama, pasukannya tetap bersemangat untuk berjuang.

“Kita ada peluang untuk mencatatkan kemenangan biarpun 50-50. Kita yakin dan optimis, bermain di Kuantan bukan halangan untuk Negeri Sembilan Naza memperoleh kemenangan," katanya ketika di sini semalam.

Tambah Devan, Hong Aik dan Williams akan direhatkan sementara, tetapi kita sudah mempunyai pemain yang akan menggantikan mereka.

“Bahtiar Othman akan bermain di sebelah kiri mengambil tempat Hong Aik dan P.Sivanathan akan memikul tugas di sebelah kanan mengambil tempat Williams.

“Saya berharap dengan gandingan dua pemain ini ia akan membantu pasukan Negeri Sembilan untuk lebih mantap," ujarnya.

Pada masa yang sama juga, skuad Jang akan tetap menurunkan dua pemain yang masih belum pulih sepenuhnya, Che Hishamuddin Hassan dan Christian Bekamengo.

“Kita memang akan menurunkan pemain yang boleh menjaringkan gol. Ketika ini, sandaran tetap di bahu Hishamuddin dan Bekamengo.

“Jika ada pilihan, kami memang mahu merehatkan mereka.

“Tetapi saya percaya, walaupun sedikit terjejas, sumbangan mereka dalam pasukan Negeri Sembilan Naza serta gerakan bergaya kedua-duanya dalam menghasilkan gol, saya mengharapkan sentuhan berbisa mereka di Kuantan.

“Mereka akan bermain sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan Negeri Sembilan Naza di Kuantan, sekali gus melangkah ke perlawanan akhir Piala FA ini,'' ujarnya.

Skuad Negeri Sembilan Naza yang berlepas ke Kuantan semalam, mengharapkan kekalahan Telekom Melaka kepada Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super milik Jang.

“Jika mereka tewas, kita sudah dinobatkan sebagai juara Liga Super. Tidak perlu lagi bermain dalam tekanan.

“Tumpuan sekarang ialah Piala FA. Pemain sudah bersedia dan memberikan komitmen yang tinggi di Kuantan.

“Kami akan buktikan kejayaan di Kuantan,'' tegas Devan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l5vFNUBR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan