Isnin, 26 Jun 2017

Perlis, Pahang di final Piala FA - NS Naza juara Liga Super



ARKIB : 14/05/2006
PEMAIN Pahang, Subri Sulong (kiri) dan Bahtiar Othman dari Negeri Sembilan Naza bersaing mendapatkan bola dalam saingan bola sepak Piala FA, malam tadi. – Bernama.

KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan Naza dinobatkan selaku juara Liga Super tatkala Perlis dan Pahang menentukan juara Piala FA Edisi ke-17 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, selepas menewaskan lawan masing-masing pada saingan separuh akhir kedua semalam.

Kemaraan ke perlawanan akhir buat kedua-dua pasukan bakal meleraikan belenggu tanpa sebarang gelaran juara.

Sejak Piala FA mula diperkenalkan pada 1990, kedua-dua pasukan sekadar bergelar naib juara iaitu Perlis pada 2003 manakala Pahang pada 1995.

Perlis layak menerusi agregat 4-3 mengetepikan saingan Singapura B23 manakala Pahang meleburkan impian menggunung NS Naza dengan agregat 3-2.

Bagaimanapun, kegagalan NS Naza ke perlawanan akhir Piala FA terubat apabila mereka menjulang Piala Liga Super selepas saingan terdekat Telekom Melaka sekadar terikat 2-2 dengan Selangor di Stadium Hang Jebat, semalam.

Sejurus tamat perlawanan Pahang-NS Naza, pemain skuad Jang meluru ke padang berpelukan sesama sendiri meraikan kejayaan menjulang piala Liga Super musim 2005/2006.

Di Stadium Darul Makmur, Subri Sulong muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan membantu Pahang menewaskan Negeri Sembilan Naza 3-2.

Saingan paling menarik melihat kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada satu ketika seolah-olah mengajak perlawanan ke masa tambahan.

Namun, Subri tampil dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti lapan minit sebelum perlawanan tamat sudah cukup menggembirakan pemain buat Pahang layak ke perlawanan akhir.

Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi penyerang import, Mitchell James Crentice menerusi tandukan menggegar jaring pada minit ke-12.

Pada minit ke-42, Mohd. Fadzli Shaari menanduk masuk gol kedua skuad Tok Gajah selepas mendapat hantaran Subri.

Bagaimanapun, pelawat merapatkan jurang kedudukan gol menerusi K.Sathian yang menanduk masuk pada minit ke-73 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Dua minit selepas itu pintu gol Pahang bocor lagi apabila Christian Bekamenga mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan pada minit ke-75.

Di Stadium Utama Negeri, Perlis tidak berdepan sebarang masalah untuk mengungguli pentas saingan apabila mudah menewaskan Singapura B23 2-0.

Kemenangan itu memastikan kemaraan Perlis ke perlawanan akhir Piala FA hujung minggu ini menerusi agregat 4-3 selepas tewas pada perlawanan pertama 3-2 di tempat lawan.

Kemaraan ke perlawanan akhir adalah buat kali kedua selepas melakukannya pada 2003 tetapi tewas kepada Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir.

Sebaik babak bermula skuad Singa Utara tampak garang menguasai pentas saingan dan melakukan serangan bertali arus untuk memadamkan bekalan satu gol di bawa oleh Singapura B23.

Sebaik 13 minit babak berlangsung Zachariah Simukonda meletakkan Perlis mendahului 1-0 meledakkan jaringan cantek selepas mendapat hantaran Manzoor Azwira.

Singapura B23 terus tertekan apabila giliranPhilimon Chepita pula menyepak masuk gol kedua sebaik dua minit babak kedua berlangsung.

Sementara itu dalam saingan Liga Super pula, NS Naza dinobatkan selaku juara Liga Super Telekom Melaka sekadar terikat 2-2 bertemu Selangor.

Gol-gol Telekom dijaringkan menerusi Rudie Ramli (m-38) dan Hardi Jaafar (m-61) manakala Selangor memperoleh gol menerusi Bambang Pamungkas (m-47) dan Mohd. Amri Yahyah (m-90).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l5z12vFA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan