Isnin, 26 Jun 2017

Pahang hadapi satu lagi debaran



ARKIB : 23/05/2006
KUALA LUMPUR - Saingan Liga Super musim 2005/2006 menutup tirai malam ini mengharungi aksi terakhir dengan Negeri Sembilan Naza lebih awal ditabalkan selaku juara.

Empat perlawanan malam ini lebih tertumpu kepada persaingan Telekom Melaka dan Perak memburu tempat selaku naib juara Liga Super.

Manakala persaingan lebih menarik adalah untuk menentukan satu lagi pasukan bakal mengiringi Selangor bermain dalam perlawanan playoff Liga Super musim 2006/2007.

Pahang yang masih segar dengan gelaran Piala FA Sabtu lalu, bakal bersaing bersama-sama Perlis dan MPPJ untuk mengelak daripada mengalami nasib seperti Selangor.

Ketika ini Perlis berada di tangga kelima dengan 27 mata diikuti oleh MPPJ di tempat keenam (26 mata) dan Pahang di tempat ketujuh (24).

Selangor pula masih kekal di tangga terbawah liga. Kemenangan skuad Merah Kuning ke atas MPPJ tidak merubah kedudukan pasukan itu.

Buat ketiga-tiga pasukan itu kemenangan menjadi buruan, jika kalah mereka pasti mengiringi Selangor ke perlawanan playoff yang akan dijalankan bulan depan.

Tugas getir menanti MPPJ apabila berdepan dengan Telekom Melaka yang turut mencari kemenangan bagi memastikan kedudukan selesa selaku naib juara liga di belakang NS Naza.

MPPJ yang diterajui oleh bekas jurulatih MK Land, Khan Hung Meng terpaksa mengerah tenaga untuk menang bagi mengelak menduduki dua tangga terbawah liga.

Begitu juga dengan Pahang yang masih segar selaku juara Piala FA perlu menewaskan Pulau Pinang E&O jika tidak berhasrat untuk mengiringi Selangor.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan terpaksa menangguhkan sambutan kejayaan muncul juara Piala FA buat pertama kali semata-mata mahu memberikan tumpuan perlawanan terakhir liga.

“Pesta meraikan kejayaan Pahang ditangguhkan dan saya mahu pemain memberikan tumpuan penuh untuk memastikan skuad Tok Gajah tidak bermain dalam playoff untuk layak ke Liga Super musim depan,'' ujarnya baru-baru ini.

Mengikut percaturan, Pahang mengharapkan Perlis atau MPPJ tewas sambil skuad Tok Gajah menewaskan Pulau Pinang E&O.

Malah buat Perlis yang kecewa buat kali kedua untuk muncul juara Piala FA tewas 4-2 kepada Pahang, sekurang-kurangnya perlu mencatat keputusan seri berdepan dengan Selangor.

Keputusan seri itu sudah cukup menjamin kedudukan Perlis kekal dalam Liga Super musim depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l6ccsW3P
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan