Jumaat, 23 Jun 2017

Suku akhir Piala FA: Singa Utara tersepit, Tok Gajah lega



ARKIB : 31/03/2006
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (kiri) mencabut undi bagi peringkat suku akhir bola sepak Piala FA di Wisma FAM, semalam.

PETALING JAYA - Tiga ujian getir menanti Perlis sekali gus selepas undian suku akhir bola sepak Piala FA, semalam yang menemukannya dengan naib juara tahun lalu, Perak.

Pertama ialah skuad Singa Utara yang melepasi Angkatan Tentera dengan agregat 5-2 dalam pusingan kedua, menghadapi Perak yang kini menerajui Liga Super selepas 14 perlawanan.

Kedua, anak didik Abdul Rahman Ibrahim ini amat mengidamkan Piala FA sebagai penawar selepas kelihatan agak mustahil untuk mempertahankan mahkota Liga Super dengan kedudukan kedua tercorot sekarang.

Yang ketiga menggusarkan Perlis ialah berkaitan jadual perlawanan pertama suku akhir Piala FA pada 5 April ini yang begitu rapat dengan Liga Super (8 April ini) dan Piala AFC di Hong Kong, tiga hari kemudian.

Perlis yang diundi sebagai tuan rumah pertama Piala FA, akan berkunjung ke Ipoh untuk Liga Super sebelum bergegas ke Stadium Mongkok, keesokannya bagi menentang Xiangxue Sun Hei (Hong Kong).

Undian di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, turut memberikan laluan getir Terengganu kerana bakal ditentang Negeri Sembilan yang mengekori Perak di tempat kedua Liga Super.

Kemaraan Terengganu, kedua dalam Kumpulan A Liga Perdana ke suku akhir Piala FA bagaimanapun agak mengejutkan kerana menewaskan satu lagi pasukan Liga Super, MPPJ dengan agregat 5-1.

Sarawak yang pernah menjulang Piala FA 1992 pula diundi menentang muka baru dan pasukan sulung dari luar negara, skuad Bawah 23 Tahun Singapura yang melepasi Johor secara agregat 5-3.

Sebaliknya, laluan mudah terbentang buat Pahang yang akan menentang kelab tunggal pada suku akhir ini dan wakil Liga Perdana, NTFA yang menewaskan Polis menerusi agregat 2-1, kelmarin.

Perlawanan kedua suku akhir Piala FA ditetapkan pada 19 April ini manakala undian separuh akhir akan diadakan sehari selepasnya di Hotel Regent, Kuala Lumpur.

Pengurus pasukan Perlis, Azmi Saad meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminda tarikh perlawanan Liga Super di Ipoh supaya tidak terlalu dekat dengan aksi Kumpulan E Piala AFC di Hong Kong itu.

``Peluang dengan Perak dalam Piala FA tetap 50-50. Sekalipun tanpa Selangor selaku juara bertahan sekarang, kami tidak menganggap ada lawan yang lebih mudah atau sebaliknya.

``Kami kini memburu sekurang-kurangnya satu piala selepas harapan untuk kembali bergelar juara Liga Super, seakan tertutup dan terlalu sukar,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kq0FhoQX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan