Jumaat, 9 Jun 2017

Pahang tidak mampu kalah lagi



 
ARKIB : 28/12/2005
Oleh: ALI MAHMOOD
PENOLONG jurulatih Pahang, Ahmad Yusof mengendalikan sesi latihan pasukan Pahang di Kuantan semalam menjelang perlawanan Liga Super menentang Telekom Melaka Sabtu ini.

PARA pemain Pahang diingatkan supaya memberikan sepenuhnya komitmen ketika beraksi di padang jika tidak mahu terus kecundang kepada pasukan lawan dalam perlawanan bola sepak Liga Super musim ini.

Pengurus pesukan Pahang atau lebih dikenali sebagai pasukan Tok Gajah, Datuk Shahiruddin Moin berkata, kegagalan pasukan bimbingan bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan mencatatkan kemenangan pertamanya ketika menentang Telekom Melaka boleh menyebabkan peminat bola sepak negeri itu hilang kepercayaan.

``Oleh itu pemain-pemain perlu menggunakan peluang terbaik bermain di padang sendiri pada perlawanan Sabtu ini untuk menebuskan kekecewaan kalah tiga kali dalam perlawanan sebelum ini.

``Jika kecundang sekali lagi lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri boleh menyebabkan peminat tidak lagi akan menyokong pasukan Pahang,'' katanya semasa melihat pemain-pemain Pahang menjalani latihan di padang Taman Gelora, Kuantan petang ini.

Namun katanya, kegagalan dalam perlawanan sebelum ini bukan kerana pemain-pemain Tok Gajah tidak bagus tetapi kerana mereka gagal memanfaat banyak peluang di depan pintu gol.

Sehubungan itu Shahiruddin meminta Zainal supaya memberikan tumpuan latihan bagi memantapkan pemain dibahagian penyerang supaya lebih bijak dan tidak mensia-siakan peluang yang ada di depan pintu gol.

Malah faktor kecederaan beberapa pemain dai bahaigan penyerang adalah antara punca yang menjadikan Pahang kurang menyengat dan hanya berjaya menjaringkan satu gol semasa menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama pasukan itu dalam kancah Liga Super.

Bagaimanapun kata Shahiruddin, beliau difahamkan oleh Zainal, Hairuddin Omar dan Rosdi Talib yang cedera sebelum ini akan diturunkan dalam perlawanan menentang Telekom Melaka.

Selain itu pemain import Pahang, Josiah Seton turut mengalami kecederaan dan tidak diturunkan dalam perlawanan pasa Sabtu ini di Stadium Darul Makmur.

Setakat ini Josiah Seton hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan menentang Negeri Sembilan sebelum mengalami kecederaan sementara Hairuddin dan Rosdi sudah pulih dan bersedia untuk menggempur kubu lawan.

``Pahang sebenarnya adalah pasukan yang masih kuat dan mempunyai ramai pemain yang bertenaga dan berkemahiran tinggi, cuma hanya nasib sahaja yang masih belum memihak kepada mereka.

``Rata-rata pemain Pahang adalah berusia bawah 26 tahun kecuali Azizul Kamaluddin yang agak berusia,'' katanya.

Namun kata beliau, pasukan Pahang perlu mencapai kemenangan menentang Telekom Melaka kerana kemenangan yang pertama itu menjadi cukup penting untuk menyuntik semula semangat dan komitmen pemain.

Sehubungan itu Shahiruddin meminta para pemain memberikan tumpuan seratus peratus semasa beraksi dan tidak lagi mensia-siakan peluang yang terbuka di depan pintu gol, jika tidak Pahang akan terus menduduki tangga tercorot musim ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jWpuwvDi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan