Sabtu, 10 Jun 2017

Pahang menang, Selangor tumbang



ARKIB : 22/01/2006

PENYERANG Pahang, Bernard Samuel Tchoutang (kanan) mengawal bola meskipun cuba dihalang oleh pemain Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharum sewaktu aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam. - Gambar GHAZALI BASRI.

KUALA LUMPUR - Juara Piala Malaysia, Selangor terus terhimpit apabila tewas buat kali keenam dengan giliran Perak mencatat kemenangan 2-0.

Kekalahan menambah derita Selangor apabila kali ini terjerumus di tangga terbawah liga buat pertama kali.

Saingan Liga Super pusingan kedua turut diwarnai kegagalan pendahulu liga, Negeri Sembilan mengekalkan penguasaan setelah tumpas 1-0 kepada Pahang.

Kesempatan itu dicuri oleh skuad yang mendapat jolokan `Chelsea Malaysia', MPPJ untuk merampas takhta selepas menewaskan Pulau Pinang E&O 2-1.

Di Stadium Perak, Juara Piala Malaysia, Selangor terus tenggelam kehilangan punca kemenangan yang di hajat dihampakan oleh Naib Juara Piala FA, Perak apabila tewas 2-0 menerusi kedua-dua gol dijaringkan oleh Keita Mandjou di Stadium Perak, semalam.

Kekalahan kali keenam Selangor sesudah dibelasah teruk oleh Perlis 6-1 minggu lalu pastinya mengundang kemarahan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Di Stadium Petaling Jaya, skuad yang mendapat jolokan `Chelsea Malaysia', MPPJ kembali bernafas untuk menduduki tangga teratas liga selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1.

Mahkota yang kini menjadi milik MPPJ dibantu oleh kekalahan pendahulu, Negeri Sembilan yang rebah 1-0 kepada Pahang.

Mohd. Haris Safwan mencipta jaringan awal milik tuan rumah pada minit ke-16 manakala gol kedua pula menerusi Ben Newton Katanha di minit ke-63.

Pulau Pinang E&O sekadar merapatkan jurang dengan jaringan tunggal Mohd. Azrul Ahmad pada minit ke-70.

Di Stadium Hang Jebat, tuan rumah Telekom Melaka gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila terikat 0-0 bertemu Perlis.

Di Stadium Darul Makmur, Bernard Tchoutang muncul hero apabila jaringan tunggalnya memastikan Pahang mengutip tiga mata berharga apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0.

Kemenangan itu memastikan Pahang mengutip kemenangan kedua dalam usaha memperbaiki kedudukan daripada terus menduduki tangga terbawah liga.

Buat Negeri Sembilan ini adalah kekalahan kedua dialami berturut-turut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jc3K8VgK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan