Jumaat, 9 Jun 2017

Dilema Selangor, Pahang



ARKIB : 22/12/2005
Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Apa sudah jadi dengan Selangor, Pahang dan Perlis ?

Itulah persoalan yang berlegar di benak fikiran peminat-peminat melihatkan aksi ketiga-tiga gergasi bola sepak itu langsung tidak bermaya.

Sesudah empat perlawanan Liga Super dilalui ketiga-tiga pasukan tampak tidak bermaya untuk meneruskan aksi.

Lebih mengejutkan juara Liga Super 2004, Pahang di bawah teraju jurulatih Zainal Abidin Hassan menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum mengutip sebarang mata.

Kekalahan terbaru 0-2 kepada Perak di gelanggang sendiri meletakkan Pahang menghuni tangga terbawah liga.

Begitu juga dengan naib juara Piala Malaysia 2005, Perlis menduduki dua anak tangga terbawah liga selepas diaibkan oleh MPPJ yang menang 3-1 di stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Perlis sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Telekom dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2005/2006.

Nasib yang serupa turut dialami oleh Selangor sesudah dinobatkan juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga, anak didik Dollah Salleh terus tenggelam menerima tiga kekalahan setakat ini.

Menggigit jari dikejutkan oleh MPPJ dengan kekalahan 2-1 Sabtu lepas, giliran Pulau Pinang menambah derita skuad Red Giants tunduk 1-3 di stadium Bandaraya.

Situasi tiga gergasi bola sepak itu kini menjadi perbualan hangat di kalangan peminat bola sepak.

Ketika tiga pasukan gergasi longlai, pasukan berstatus kelab MPPJ terus mencuri tumpuan.

Pasukan yang digelar `Chelsea Malaysia' itu terus mengganas dan kali ini Perlis pula menjadi mangsa apabila tewas 1-3 di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Kemenangan ketiga milik MPPJ mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Super, dengan kelebihan satu mata mengatasi naib juara Piala FA musim lalu, Perak.

MPPJ kini selesa dengan 10 mata diikuti oleh Perak (9), Negeri Sembilan (9), Telekom (7), Pulau Pinang (4), Selangor (3), Perlis (1) dan Pahang (0).

Bagaimanapun sebuah lagi kelab iaitu Telekom hampa melepaskan kedudukan tangga kedua kepada Perak gara-gara kekalahan tipis 0-1 kepada Negeri Sembilan.

Pulau Pinang pula turut memperbaiki kedudukan dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Selangor untuk berada di tangga kelima.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jWaRu3SA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan