Sabtu, 10 Jun 2017

Selangor, Pahang kembali bertenaga



ARKIB : 09/01/2006
 
KUALA LUMPUR - Kancah saingan Liga Super mengharungi satu lagi perlawanan menamatkan saingan pusingan pertama semakin bertambah menarik.

Perlawanan kali keenam kelmarin merubah skrip asal selain menjanjikan persaingan lebih getir apabila mengharungi pusingan kedua minggu depan.

Kekebalan pasukan berstatus kelab MPPJ bertakhta selaku pendahulu Liga Super tidak bertahan lama.

Cengkaman mereka dalam tempoh dua minggu berakhir kelmarin selepas tewas 2-0 kepada Pahang di tempat sendiri ketika saingan terdekat Negeri Sembilan menewaskan Perlis 2-1.

Kekalahan pertama MPPJ itu membuka ruang buat Negeri Sembilan mengambil alih teraju selaku pendahulu Liga Super yang baru.

Bagaimanapun, MPPJ masih boleh menarik nafas lega menduduki tangga kedua liga dipisahkan dengan dua mata berbanding Negeri Sembilan.

Saingan tampak lebih menarik apabila dua gergasi bola sepak Malaysia, Selangor dan Pahang yang longlai kembali bertenaga memberikan saingan.

Juara Piala Malaysia, Selangor yang tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut menerima suntikan semangat apabila menamatkan badi kekalahan menewaskan Telekom 2-1 hasil sentuhan jaringan Brian Fuentes.

Kemenangan tersebut pastinya menceriakan kembali pengurus, Datuk Satim Diman dan jurulatih, Dollah Salleh yang sebelum ini dibuai keresahan kekalahan demi kekalahan dialami skuad Merah Kuning.

Begitu juga dengan Pahang tewas dalam empat perlawanan berturut-turut yang menghadirkan kecaman ke atas jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan turut ceria akhirnya memahat kemenangan pertama.

Dua gol menerusi Bernard Tchoutang dan Indra Putra Mahayuddin menewaskan MPPJ 2-0 memulihkan semula semangat pemain Pahang yang luntur sebelum ini.

Lebih mencuri tumpuan melihat reputasi Perak yang gah di awal musim mencetus kontroversi dengan gelagat pengurus pasukan Jamal Nasir Rasdi dan ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar.

Berang apabila Perak tewas 1-2 dan menyalahkan mutu pengadilan pada perlawanan itu, skuad Seladang tambah duka dengan giliran Pulau Pinang memalitkan malu.

Perak kalah lagi apabila tumpas 3-1 kepada Pulau Pinang meneruskan episod malang Perak sesudah Ahmad Shahrul digantung setahun gara-gara aksi ganas terhadap pegawai perlawanan dan Jamal Nasir pula digantung daripada sebarang aktiviti bola sehingga beliau hadir untuk perbicaraan Lembaga Tatatertib FAM pada 16 Januari ini.

Skuad Singa Utara mengalami kekalahan ketiga rebah 2-1 kepada Negeri Sembilan meletakkan pasukan itu berada di kedudukan dua tangga terbawah liga dengan empat mata.

Ketika ini Negeri Sembilan selaku pendahulu liga diikuti oleh MPPJ, Telekom, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Perlis dan Pahang.

Perlawanan terakhir menamatkan pusingan pertama liga Sabtu ini membabitkan Telekom bertemu MPPJ, Pahang dengan Pulau Pinang E&O, Perak menanti kunjungan Negeri Sembilan dan Perlis menentang Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4jadxXT00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan