Sabtu, 5 September 2020

Tok Gajah tak terkesan tanpa Sumareh

Oleh ASZAHARI ALI

4 September 2020, 8:47 pmKUANTAN: Keputusan Mohamadou Sumareh meninggalkan Pahang dan menyertai pasukan Thai League 1, Police Tero FC tidak memberikan kesan kepada Tok Gajah untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengurus Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang berkata, walau apa pun berlaku, pemain Pahang tidak boleh berpatah semangat dan beliau percaya isu membabitkan Sumareh tidak akan merencatkan usaha Tok Gajah untuk mencipta kemenangan selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sehubungan itu beliau berharap anak buah Dollah Salleh dapat mempamerkan aksi terbaik seterusnya membawa pulang tiga mata dalam perlawanan bertemu UiTM FC bagi mengelak dari terus tergelincir dari zon selesa carta Liga-M.

Ketiadaan Sumareh diharap tidak merencatkan perancangan Dollah untuk bangkit daripada kekalahan dengan JDT sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Skuad Pahang yang kini berada di kedudukan ketujuh liga berbanding UiTM di tangga ke lima perlu menang untuk mempastikan tidak jauh ketinggalan dalam pemburuan sekurang-kurangnya tiga tempat teratas Liga M.

Walaupun beberapa pemain sudah boleh beraksi kerana semakin pulih dari kecederaan tetapi Dollah dikatakan tidak banyak pilihan untuk memilih pemain terbaik dalam aksi bertemu UiTM.

Dalam masa sama, penyerang muda Pahang yang turut menyumbang gol semasa perlawanan dengan JDT, Muhammad Faizal Abdul Halim mengakui harapan besar terpikul di bahunya untuk memburu gol berikutan ketiadaan Sumareh bagi baki perlawanan hingga hujung musim ini.

Penyerang berusia 22 tahun itu dijangka digandingkan dengan pemain import Dickson Nwakaeme yang dikhabarkan masih belum cergas sepenuhnya selain mengharap sentuhan Herold Goulan sekali lagi untuk mendapatkan gol.

Saya akan terus bermain dengan penuh semangat untuk memastikan Pahang terus memberi cabaran hingga hujung musim dengan bantuan rakan-rakan lain walaupun tanpa kehadiran Sumareh di barisan hadapan,” katanya. SUMBER-SUKAN UM ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan