Khamis, 10 September 2020

Sumareh belum selamat

MyMetroArena

Mohamadou Sumareh. FOTO File NSTP

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

KEMELUT perpindahan tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh memasuki episod baharu apabila Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang dipohon Persatuan Bolasepak Thailand (FA Thailand) ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Berikutan itu, FA Thailand mengambil 'jalan pintas' dengan memohon ITC sementara daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi membolehkan Sumareh beraksi dengan kelab Police Tero FC di liga negara itu.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, kes Sumareh masih belum diputuskan oleh mana-mana jawatankuasa FAM mengenai aduannya ke atas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang dikatakan gagal melunaskan tunggakan gajinya hingga mengaktifkan klausa 8.7 untuk menamatkan kontrak bersama skuad Tok Gajah.

Katanya, meskipun Sumareh berjaya meraih ITC sementara, PBNP boleh mengambil tindakan berat ke atasnya kerana kesnya masih belum dibicarakan di peringkat domestik.

"Dengan ketiadaan keputusan rasmi jawatankuasa FAM, sijil perpindahan antarabangsa yang diminta daripada FA Thailand itu ditolak oleh FAM.

Persatuan Bolasepak Thailand telah merujuk perkara ini kepada Fifa dan Fifa sudah mengeluarkan sijil pemindahan antarabangsa sementara untuk Sumareh.


"Bagaimanapun pemain (Sumareh) masih boleh diambil tindakan undang-undang oleh PBNP meskipun memiliki sijil pemindahan sementara dan didaftar di Liga Thailand," katanya.


Sebelum ini, pemain sayap berusia 26 tahun itu mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang sejak sebulan lalu.


Difahamkan, dia bertindak demikian kerana masalah pembayaran gaji dengan PBNP sekali gus memilih untuk memohon penamatan kontrak secara sebelah pihak dengan mengaktifkan klausa 8.7.


Jelas Yusoff, beliau turut menasihatkan Sumareh berhati-hati dalam memberi kenyataan kepada media yang mungkin boleh mengganggu perjalanan kesnya selepas ini.


"FAM mengingatkan pemain seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum apa-apa keputusan rasmi diambil oleh jawatankuasa FAM atau Fifa," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 10:09 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan