Isnin, 7 September 2020

Sumareh boleh jadi 'jutawan segera'

MyMetroArena

SUMAREH bakal sertai kelab Thailand.

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.myPEMAIN kebangsaan, Mohamadou Sumareh dijangka bergelar 'jutawan segera' seandainya tuntutan pampasan baki kontrak lebih RM1 juta dibayar oleh bekas majikannya Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Malah, kantung koceknya dijangka terus mengembung apabila dia mula menyertai kelab Thailand, Police Tero FC dengan nilai semasa tonggak naturalisasi Harimau Malaya itu pada harga sekitar RM1.3 juta atau 275,000 euro ketika ini.

Berdasarkan harga pasaran yang dibuat di laman web www.transfermarkt.co.uk itu, kemungkinan Sumareh akan menerima antara RM80,000 hingga RM100,000 sebulan bersama kelab divisyen satu Thailand itu.

Ini bermakna, secara purata pemain kelahiran Gambia itu mampu meraih hampir setengah juta sekiranya beraksi selama enam bulan sebelum kembali semula ke Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Menurut ejen tempatan yang mengusahakan I One Sports Agency Sdn Bhd, Syed Qamarul Firdaus, PBNP perlu membayar baki kontrak Sumareh yang dijadual tamat pada penghujung musim depan.

"Dalam isu Sumareh ini, PBNP kena bayar pampasan kontrak sebab dia (Sumareh) dah gunakan klausa 8.7 yang terkandung dalam kontraknya dengan Pahang.

"Lepas itu dia pula akan main di Thailand, jadi kat sini dapat (bayaran pampasan kontrak dari Pahang), kat sana pun dapat (gaji dengan Police Tero FC)," katanya kepada Arena Metro.

SUMBER-METRO ONLINE


Tiada ulasan:

Catat Ulasan