Selasa, 1 September 2020

Ashar teruja, sedia pamer aksi lebih kental

 MyMetroArena

ASHAR Al Aafiz cuba menghalang penyerang JDT, Diogo pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan Pahang FA

Asrol Awang

sukanteam@hmetro.com.myPEMAIN pertahanan Pahang, Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah mengakui teruja apabila diberi peluang beraksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), 28 Ogos lalu.Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, kepercayaan yang diberikan jurulatih, Dollah Salleh menyenaraikannya dalam kesebelasan utama dihargai.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih dan sokongan daripada rakan sepasukan kerana kali pertama beraksi dalam Liga Super musim ini."Pada empat perlawanan sebelum ini, saya hanya disenaraikan selaku pemain simpanan dan kepercayaan yang diberikan berdepan JDT meningkatkan motivasi.

"Biarpun kecewa gagal menyekat JDT daripada beroleh kemenangan, ia pengalaman berharga dan menambah lagi keyakinan untuk mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan selepas ini," katanya.

Ditanya khidmatnya akan ditagih berdepan UiTM FC Sabtu ini, Muhammad Ashar sentiasa bersedia untuk memastikan jentera pertahanan lebih kental.Katanya, misi utama pasukan ialah untuk kembali meraih kemenangan dalam usaha meletakkan kedudukan lebih baik dalam saingan liga.

"Kami akan bangkit dan beraksi lebih baik untuk kembali mengutip tiga mata biarpun beraksi di tempat lawan," kata pemain berumur 25 tahun itu.


Biarpun Pahang tewas 2-3 kepada JDT, Dollah berpuas hati dengan persembahan pemain muda yang memberi persembahan yang meyakinkan dalam usaha mengimbangi corak permainan terutama pada babak kedua perlawanan.


"Saya berbangga dengan prestasi yang dipersembahkan dan percaya mereka mampu memberikan yang lebih baik pada perlawanan akan datang," kata Dollah.


Antara pemain muda yang diberi peluang beraksi ialah Muhammad Ashar Al Aafiz dan Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir.


SUMBER=Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 5:18 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan