Isnin, 5 September 2016

Tok Gajah jangan salah langkah

ARKIB : 15/05/1998
Tok Gajah jangan salah langkah
BERDASARKAN pengalaman, Pahang nyata memiliki segala kelebihan berbanding pasukan muda - Olimpik 2000 terutama menerusi reputasi mereka selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu, lapor AMRAN MULUP.

Dengan pengalaman serta kematangan, Pahang menjadi pilihan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pendahulu Perdana Satu dengan memenangi pertemuan di Stadium Merdeka, malam ini.

Namun ia sekadar ramalan atas kertas dan yang pasti Pahang bakal merasai sendiri sejauh mana kehebatan pasukan muda negara yang dianggap masih mentah.

Pertemuan kedua-dua pasukan ini bakal menjadi tumpuan utama selepas anak didik Hatem Souissi ini mempamerkan aksi menarik menentang Selangor dengan keputusan seri 3-3.

Sarawak menerima kejutan apabila tewas 1-0 manakala Selangor satu lagi pasukan elit dengan reputasi menjulang Piala Malaysia tiga musim berturut-turut nyaris menerima malu Sabtu lalu.

Ini sudah tentunya bakal mencetuskan pertembungan paling menarik memungkinkan satu lagi kejutan bakal berlaku di Stadium Merdeka malam ini.

Yang jelas, Pahang seharusnya lebih berwaspada berdepan dengan kebangkitan skuad Olimpik agar tidak menerima malu seperti yang menimpa Sarawak dan Selangor.

Jurulatih Pahang, Jorgen Larsen pastinya sudah merancang strategi sepanjang babak 90 minit buat menangkis asakan-asakan pantas Olimpik.

Corak permainan pantas pemain Olimpik adalah kelebihannya walaupun Pahang dibarisi pemain elit seperti Emmanuel Kofi Ampiah, Azizul Kamaluddin, Muadzar Mohamad, Melnikov Viatcheslav dan Joszef Duro.

Buat Hatem, persembahan cemerlang sewaktu bertemu Selangor menyaksikan beliau tetap menyandarkan barisan yang sama malam ini.

Tanpa tonggak pertahanan Yuzaiman Zahari yang diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua manakala Gilbert pula terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan lutut kanannya, Olimpik tidak nampak pincang.

Kebangkitan Chow Chee Weng dan V. Saravanan yang kembali menemui sentuhan menjadi sandaran di bahagian serangan selain perancang Tengku Hazman Raja Hassan dan Rosle Derus yang mengemudi bahagian tengah.

Kekebalan benteng menjadi pertaruhan ke atas S. Jayaprakash akan dibantu oleh Johnny Joseph, M. Gopalan, Faziallah Maman manakala tempat Yuzaiman pula akan diisi oleh Lim Chan Yew bagi menyekat pergerakan lincah Azizul dan Melnikov.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4JO69C800 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan