Sabtu, 10 September 2016

Pahang berazam kekalkan reputasi cemerlang

ARKIB : 30/05/1998
Pahang berazam kekalkan reputasi cemerlang
PENDAHULU Liga Perdana Satu, Pahang pastinya berazam mengekalkan reputasi cemerlang untuk menutup tirai pusingan pertama dengan kemenangan pada pertemuan menentang pasukan Negeri Sembilan, malam ini.

Selepas menamatkan 10 perlawanan, wakil tunggal pantai timur itu tetap unggul dengan menguasai takhta liga dengan 23 mata apabila mencatat tujuh kemenangan dan seri dua kali.

Apapun keputusan digelanggang lain, seandainya Pahang tewas ditangan Negeri Sembilan, kedudukannya di tangga teratas tidak mampu digugat oleh mana-mana pasukan.

Ini kerana Pulau Pinang (18 mata) yang mengekori di tangga kedua, diikuti Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah cuma mengumpul 15 mata.

Pertemuan malam ini, pastinya menjanjikan permainan menarik yang bakal dipamerkan oleh kedua-dua pasukan setelah kejayaan masing-masing mengutip mata dalam perlawanan Selasa lalu.

Negeri Sembilan berjaya membenam juara Piala Malaysia, Selangor 2-0 di tempat sendiri, manakala Pahang berpuashati setelah berjaya mencuri satu mata daripada Kedah di Alor Setar apabila perlawanan berakhir 3-3.

Setelah kejayaan membenam Merah Kuning, skuad Rusa pastinya datang dengan misi untuk melebarkan rekod kemenangan sekali gus muncul pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah tuan rumah Stadium Darulmakmur.

Namun begitu, jika diperhatikan dari pencapaian kedua-dua pasukan, Tok Gajah lebih berhak mencipta kemenangan kerana rekod permainan anak buah, M. Karathu di tempat lawan kurang menyerlah.

Apatah lagi, tuan rumah yang berbekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan di gelanggang sendiri sepanjang musim ini dijangka menurunkan kesebelasan utamanya.

Mereka bukan sahaja unggul selaku pendahulu liga, sebaliknya turut berbangga dengan sentuhan gol penyerang importnya, Viatcheslav Melnikov apabila pemain itu tiba-tiba muncul penjaring terbanyak setakat ini.

Melnikov yang dibeli dengan harga lebih RM1 juta dari kelab Moscow Torpedo telah menyumbang sembilan gol daripada lapan perlawanan.

Tugas berat pastinya menanti kesebelasan skuad Rusa kerana Pahang bukannya sekadar kuat di atas, hakikatnya Tok Gajah sememangnya memiliki barisan yang mantap disemua posisi.

Disamping Melnikov dan Azizul Kamaluddin yang diharapkan menjaringkan gol, pemain-pemain tengah terdiri, Azaruddin Aziz, Joszef Duro dan Shahrul Nizam Sahat bakal menjaring 'duri dalam daging' kepada pasukan pelawat.

Malah pemain posisi pertahanan Pahang, Emmanuel Kofi Ampiah dan Ali Mat Tahar turut membuktikan kebolehan masing-masing mencatat nama sebagai penjaring gol.

Namun begitu, Pahang tidak boleh mendabik dada dengan rekod tersebut kerana pasukan yang bakal ditemui malam ini bukanlah calang-calang pasukan.

Tersilap percaturan tidak mustahil boleh mengubah keputusan yang akan berpihak kepada pasukan pelawat untuk meranapkan rekod tanpa kalah Pahang sekaligus membawa pulang mata penuh.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu pastinya mendorong peminat-peminat bola sepak khususnya peminat setia Tok Gajah untuk memenuhi setiap inci tempat duduk di Stadium Darulmakmur.

Ini kerana Negeri Sembilan satu-satunya pasukan dalam Perdana Satu yang mendapat khidmat pemain-pemain yang pernah menjadi tonggak kebangkitan Pahang beberapa musim lalu.

Mereka ialah pemain import, Gus Cerro yang mewakili Pahang musim 1996, Dolah Salleh (1984-1996), Raizuwah Idris (1994- 1997) dan bekas penjaga gol Piala Presiden, Mohd. Yazid Mohd. Yassin selaku penjaga gol utama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Js1UqOUi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan