Selasa, 6 September 2016

Pahang lebih ghairah bersaing dalam Perdana Satu

ARKIB : 21/05/1998
Pahang lebih ghairah bersaing dalam Perdana Satu
HAMPIR kesemua pemain Pahang berwajah merah padam, tetapi tidak jurulatihnya, Jorgen E. Larsen yang tenang menyaksikan pasukan bimbingannya tewas 0-1 kepada Pulau Pinang pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Bandaraya, kelmarin.

ZAINU'L AZHAR ASH'ARI melaporkan, Larsen mudah menjawab ketika diajukan soalan: ''Pemain sememangnya mengharapkan kejayaan untuk mencerahkan harapan dalam saingan Piala FA bagi meraih gelaran yang belum lagi dimiliki Pahang, tetapi berbeza dengan pendapat peribadi saya.''

Secara peribadi, kata Larsen, keghairahan memburu Piala FA boleh mengakibatkan prestasi sesuatu pasukan menurun dalam saingan Liga Perdana Satu mahupun Piala Malaysia.

''Ini kerana, kita (pasukan bola sepak di Malaysia) belum boleh menandingi Eropah yang mampu bermain dua perlawanan dalam masa seminggu.

''Bukannya Pahang tidak berminat dengan Piala FA, tetapi bagaikan berada di tengah-tengah, antara dua kerusi yang akhirnya menyaksikan orang lain yang dapat duduk,'' kata beliau kelmarin.

Ada benarnya dakwaan Larsen, sebagai contoh Pulau Pinang sebagai pasukan yang berkemampuan ke perlawanan akhir Piala FA musim lalu, tetapi tersingkir dalam saingan Piala Malaysia sehingga terpaksa mengharungi pusingan kelayakan sebelum layak ke Perdana Satu.

Ditanya apakah keistimewaan Eropah, Larsen mengambil contoh terbaik pasukan Arsenal yang mempunyai sekurang-kurangnya 35 pemain bertaraf antarabangsa sedangkan di Malaysia, sesebuah skuad negeri seperti Pahang terlalu sukar untuk mengumpulkan 18 pemain dalam senarai.

''Begitu juga dengan Pahang, kita seringkali bermain dalam sesuatu perlawanan tanpa khidmat tiga atau empat tonggak,'' kata beliau.

Menurut Larsen, dalam perlawanan kelmarin turut menyaksikan dua tonggak, Jalaluddin Jaafar dan Zulhamizan Zakaria tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.

Itu cerita kelmarin, sedangkan malang berterusan menimpa Pahang apabila Azizul Kamaluddin tidak dapat diturunkan dalam perlawanan akan datang kerana bakal menjalani pergantungan permainan selepas mengumpul dua kad kuning.

Mengenai kekalahan kepada Pulau Pinang, Larsen memberitahu, sikap ''malas'' yang diamalkan pemain dalam separuh masa pertama memberi manfaat kepada lawan.

Jurulatih berkenaan menyifatkan aksi separuh masa pertama kelmarin sebagai yang paling buruk pernah dipersembahkan Pahang.

''Separuh masa pertama, pemain 'lembab' sehingga memberi peluang kepada Pulau Pinang mengasak bertalu-talu, cuma babak kedua kita kembali bangkit tetapi sudah terlewat,'' tambah beliau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JStdUE4e © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan