Isnin, 26 September 2016

Pahang belum patah semangat



RAZIP (tengah) masih yakin bahawa Pahang mampu mengekalkan tempat mereka dalam saingan Liga Super musim depan.

SKUAD Pahang berikrar untuk beraksi seperti berada di pentas final pada perlawanan terakhir Liga Super pada 22 Oktober depan dalam misi untuk mengelakkan pasukan itu tersingkir ke saingan Liga Premier musim hadapan.

Ketua jurulatihnya, Razip Is­mail berkata, keazaman itu terpahat selepas pasukannya mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika menumpaskan Pulau Pinang 1-0 malam kelmarin sehingga membolehkan mereka mengutip tiga mata berharga di halaman sendiri.

“Kami mencatat kemenangan pada malam ini (malam kelma­rin) tetapi saya akui ia satu perlawanan yang sukar buat Pahang. Tugas kami belum lagi selesai kerana Pahang belum selamat, kami ada satu perlawanan lagi untuk diharungi serta wajib menang,” kata Razip kepada pem­berita selepas berakhirnya perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.

Razip berkata, antara pendekatan perlu diambil dalam usaha memantapkan lagi skuad Tok Gajah itu adalah dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bersama pa­sukan yang dirasakan sesuai.

“Dalam tempoh rehat selama sebulan selepas ini, kami akan melakukan pelbagai persiapan, sudah pasti beberapa perlawanan persahabatan akan diatur dalam tempoh rehat yang agak panjang ini. Kami mahu supaya para pemain meneruskan momentum kemenangan dan sentiasa konsisten ketika beraksi di atas padang,” katanya.

Razip berkata, secara keseluruhan, dia berpuas hati dengan gaya persembahan pemain Pahang termasuk aksi malam kelmarin walaupun situasi sedikit mencemaskan pada babak ke­dua perlawanan tersebut.

“Pada separuh masa kedua, pemain kami berasa tertekan dengan corak permainan pasukan Pulau Pinang yang nampak semakin agresif. Namun, barisan pertahanan dan penjaga gol kami berjaya mengekang serangan pi­hak lawan dengan baik sehingga ke wisel penamat,” katanya.

Kemenangan pasukan Pahang pada perlawanan tersebut membolehkan skuad Tok Gajah itu kini menghuni tangga ke-10 di hadapan Pulau Pinang dan Terengganu apabila berjaya me­ngutip 20 mata.

Skuad Tok Gajah bakal berhadapan dengan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan terakhir liga 22 Oktober nanti.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4LMEsCU4rHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan