Isnin, 5 September 2016

Melnikov hampakan skuad Olimpik 2000

ARKIB : 16/05/1998
Melnikov hampakan skuad Olimpik 2000
FAKTOR kurang pengalaman menjadi jurang yang menyaksikan skuad Olimpik 2000 akur dengan kehebatan pendahulu liga, Pahang apabila tewas 2-1 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi.

Harapan 20,000 penonton yang sebahagian besarnya memihak kepada Olimpik nyata hampa apabila dua gol pelawat menerusi pemain termahal bernilai RM4 juta, Melnikov Viatcheslav menutup terus kehebatan anak buah Hatem Souissi.

Aksi menarik Olimpik 2000 dengan serangan pantas ketika seri 3-3 dengan Selangor, Sabtu lalu tetap menjadi ingatan namun nasib kali ini jelas memihak kepada Pahang yang berterima kasih kepada kehebatan Melnikov.

Kemenangan ini memperkukuhkan kedudukan Pahang untuk menduduki tangga teratas Perdana Satu dengan mengumpul 19 mata.

Sebaik bermula babak pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan penuh hati-hati dalam tempoh sepuluh minit yang menyaksikan tiada serangan bahaya dilancarkan.

Hanya pada minit ke-15, Pahang nyaris membuka tirai jaringan namun tandukan ke belakang Shahrulnizam Sahat mudah ditangkap kemas penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian.

Olimpik yang cuba mengatur gerakan menerusi gandingan V. Saravanan dan Chow Chee Weng sukar melepasi benteng pertahanan yang dikemudi oleh Joszef Duro yang mengambil posisi Emmanuel Kofi Ampiah yang tidak diturunkan.

Gerakan Olimpik hadir pada minit ke-20 apabila Saravanan pantas memintas Khairulniza Mustaffa tetapi dia gopoh melakukan sepakan liar biarpun berdepan dengan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad.

Giliran Pahang pula mencemaskan pertahanan Olimpik tetapi rembatan leret Azaruddin Aziz ketika keadaan kelab kabut di depan gawang tuan rumah hanya tersasar sipi dari tiang gol sebelah kiri Olimpik.

Pahang memperoleh gol pertama menerusi rembatan Melnikov selepas mendapat bola muntah apabila Jamsari Sabian gagal menangkap kemas lorongan Mohd. Ali Taha pada minit ke-33.

Belumpun sempat skuad Olimpik mengatur langkah mencari gol penyamaan, Melnikov sekali lagi bertindak garang apabila menyempurnakan sepakan sudut Suhaimi Mohd. Noor untuk menanduk masuk gol kedua.

Bermulanya babak kedua menyaksikan Olimpik cuba bangkit untuk mencari gol merapatkan jurang namun kekentalan benteng pelawat nyata sukar dilepasi.

Kemasukan Azmir Nor Hakim, Chia Ching Kar dan Nik Ahmad Fadly Nik Leh pada babak kedua menampakkan sedikit perubahan permainan Olimpik.

Kerja keras mereka akhirnya dibayar dengan gol pada minit ke-78 menerusi Tengku Hazman yang menyambar bola di depan gawang hasil umpanan lintang Azmir yang memaksa Mudzar hanya terpaku melihat jaring gawangnya bergegar.

Begitupun, Olimpik terus dihampakan Pahang bagi mencari gol penyamaan untuk Tok Gajah pulang selesa dengan tiga mata.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JO7ekrko © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan