Isnin, 5 September 2016

Pahang hebat

ARKIB : 10/05/1998
Pahang hebat
PAHANG mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga apabila berjaya mengetepikan Perlis 2-1 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam tadi.

Pasukan Tok Gajah yang sebelum ini menang tiga perlawanan berturut-turut unggul walaupun menerima tentangan sengit dari pasukan Singa Utara.

Perlawanan malam tadi bermula dengan hambar dengan kedua- dua pasukan bermain berhati-hati dan belum menemui rentak permainan masing-masing.

Bagaimanapun, beberapa serangan kedua-dua pasukan hampir mencemaskan penjaga gol dan penonton yang berjumlah kira-kira 10,000 orang.

Pahang mula menemui rentak dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Perlis melalui gandingan penyerangnya Azizul Kamaluddin dan Viatcheslav Melnikov serta pemain tengah Joszef Duro.

Akhirnya, Pahang memperoleh gol pertama melalui Melnikov yang menanduk masuk bola ke gawang Perlis hasil sepakan sudut Duro pada minit ke-24.

Gol itu menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain Pahang dan mula melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol Perlis namun gagal membolosi pintu gol Perlis sehingga babak pertama tamat.

Perlis bermula dengan garang pada babak kedua dalam usahanya untuk menyamakan kedudukan dan akhirnya berjaya membolosi gawang Pahang hanya selepas empat minit perlawanan disambung semula.

Gol tersebut dijaringkan oleh Henry Acquah yang merembat masuk bola ke gawang dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran penyerang berasal dari Thailand, Kiatisuk Senamuang.

Perlawanan terus rancak selepas itu, dengan serangan bahaya yang hampir mencecah ke jaring.

Pahang akhirnya berjaya memperoleh gol yang dicari-cari melalui Sharulnizam Sahat yang menendang bola masuk ke gawang Perlis selepas menerima umpanan Ahmad Shukri Mustapha pada minit ke-83.

Oleh: MOHD. YUSWANDI MAJID

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4JNY7Y0HX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan