Ahad, 11 September 2016

Impian Pahang lebur

ARKIB : 21/06/1998
Impian Pahang lebur
SELANGOR meleburkan impian Pahang untuk mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan pendahulu liga itu 2-0 pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam tadi.

Tanpa tonggak utama - Emmanuel Kofi Ampiah dan Joszef Duro, Pahang terpaksa akur dengan kehebatan lawan yang membolosi gawang mereka seawal minit kelima permainan menerusi Fidadi Mohamed.

Pahang mendapat kesempatan terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-26 apabila Viatcheslav Melnikov merembat bola hantaran Sharuddin Rosdi, namun berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Abdul Hadi Tahir.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Selangor menambah jaringan hasil gerakan solo Azman Adnan, yang membuat sepakan yang melencong dan gagal diselamat oleh Mudzar Mohamad.

Di Stadium Bandaraya, Merzagua Abderrazak menjadi wira Pulau Pinang apabila menjaringkan gol hat trick untuk kemenangan 3-0 tuan rumah ke atas Sarawak.

Pulau Pinang bertindak garang sejak wisel dibunyikan oleh pengadil, Mohd. Shukri Amin dari Terengganu di depan 3,000 penyokong.

Asakan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-13, Merzagua menyempurnakan hantaran Moey Kok Hong.

Sarawak yang ketinggalan 0-1 berusaha keras mencari gol penyamaan dan mendapat kesempatan terbaik pada minit ke-25 namun pemain tuan rumah, Faisal Soh pantas menyelamatkan pintu golnya.

Merzagua menambah derita pasukan pelawat apabila berjaya membolosi gawang lawan dengan gol kedua dan ketiga pada minit ke-32 dan 45.

Di Stadium Utama Kangar, tuan rumah Perlis terpaksa berkongsi mata dengan Negeri Sembilan apabila sekadar seri 1-1.

Gol Singa Utara dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi Kiatisuk Senamuang pada minit ke-14, manakala gol penyamaan skuad Rusa disumbat oleh Dollah Salleh, minit ke 65.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan pelawat Brunei mengecewakan tuan rumah dengan kemenangan 2-1.

Pasukan dari Pulau Borneo itu memperoleh gol hasil jaringan Rosaidi Mohd Kamis pada minit ke-59 dan Nordin Tujoh pada minit ke-76, manakala gol tunggal Perak hasil jaringan Azrul Amri Burhan minit ke-86.

Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur terpaksa berkongsi mata selepas terikat 2-2 dengan Sabah.

S. Nanthakumar menjadi penyemat pasukan itu daripada diaibkan menerusi jaringan pada minit ke-17 dan 52, sementara gol-gol Sabah disumbat masuk oleh Mohd. Jaya Kassim, (20) dan Vaselin Kovasevic, minit ke-49.

Dalam pada itu, Johor melonjak ke tangga kelima Perdana Dua selepas menumpaskan NS Chempaka 3-0 pada perlawanan di Stadium Larkin.

Tiga gol kemenangan Johor dijaringkan oleh Milan Blagojevic (69), Azmi Mohamed minit (86) dan Tuboly Frigyes pada minit ke-89.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Jzl8aqi4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan