Sabtu, 10 September 2016

Penguasaan Tok Gajah sukar disekat

ARKIB : 30/05/1998
Penguasaan Tok Gajah sukar disekat
JIKA ada anugerah ''juara liga pusingan pertama'', Pahang tentunya sedang ceria meraikan kejayaan menguasai carta bola sepak Liga Perdana Satu.

Menang atau kalah pada perlawanan terakhir pusingan pertama malam ini, skuad Tok Gajah tetap megah di singgah sana hasil kerja keras sejak awal kempen liga.

Dengan lima mata di depan pencabar terdekat Pulau Pinang, Pahang bolehlah dikatakan sudah berjaya pada pusingan pertama.

Tujuh kemenangan, seri dua dan tewas sekali untuk memiliki 23 mata daripada 10 perlawanan, jumlah pungutan mata yang besar dalam pusingan pertama berbanding beberapa musim lalu, pasukan bimbingan Jorgen E. Larsen itu tampak sukar disekat musim ini.

Begitupun, perjuangan masih panjang. Ada 12 lagi perlawanan liga yang harus diharungi.

Semestinya Pahang perlu terus melebarkan rekod cemerlangnya, meninggalkan pasukan lain yang setia mengekori rapat.

Perkara utama dalam benak semua pemain Pahang tentunya kepuasan dapat meninggalkan jauh musuh utama, Selangor yang menafikan Piala Malaysia milik mereka musim lalu.

Pahang hanya tewas sekali dalam pusingan pertama sebelum perlawanan malam ini, tewas 1-0 kepada Selangor, yang terhumban di tangga ketiga tercorot dalam liga.

Namun, kerumitan tetap mengulit Pahang apabila terpaksa berdepan dengan pasukan di tempat ketiga yang sudah kembali menemui rentak kemenangan, Negeri Sembilan.

Pasukan M. Karathu itu baru sahaja mendapat tonik apabila membenam Selangor 2-0 di gelanggang sendiri, Selasa lalu.

Namun, Larsen tentu mengharapkan lagi sentuhan bintang import Melnikov Viatcheslav, Joszef Duro serta ayam tambatan tempatan Azizul Kamaluddin dan Azaruddin Aziz, untuk memastikan tiga mata bakal milik mereka.

Begitupun, Negeri Sembilan turut mempunyai misi tersendiri, sekurang-kurangnya mendekati pasukan di tangga kedua, Pulau Pinang dan kemenangan sahaja dapat memenuhi harapan itu.

Biarpun harapan yang diletakkan di bahu pakar import Rusa, Scott Ollerenshaw masih samar, Karathu tetap yakin anak-anak buah mampu memusnahkan rekod cemerlang Pahang.

Selepas mengaibkan Perak 2-1 di tempat lawan, Pulau Pinang pula pasti mengharapkan tuah terus memihak kepada mereka apabila menentang Kedah di Stadium Bandaraya.

Kemenangan harus dicari untuk merapatkan lagi jurang lima mata dengan Pahang selain mengharapkan pendahulu liga itu terkulai di Kuantan.

Begitupun, tugas Harimau Kumbang sukar kerana lawan yang bakal ditentang malam ini baru sahaja mengikat Pahang 3-3 di Alor Setar, Selasa lalu.

Pasukan di tempat kelima, Sabah yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ke atas tetangganya Sarawak, Selasa lalu, akan menguji pula Selangor yang masih tercari-cari jalan kejayaan.

Biarpun turun beraksi di gelanggang keramat lawan di Shah Alam, prestasi buruk Selangor dalam pusingan pertama ini dengan hanya dua kali menang, menjadi kesempatan terbaik buat Sabah untuk menambah mata.

Nampaknya, kegawatan ekonomi yang melanda Selangor terus merebak di padang.

Sarawak yang berada di tangga kelapan dengan 12 mata, harus berhempas pulas mengekang lawan malam ini, Brunei yang turut mengumpul mata yang sama.

Kekalahan kepada Sabah Selasa lalu pasti meningkatkan lagi azam anak buah bimbingan Alan Vest untuk membenam Brunei di tempat sendiri.

Kuala Lumpur pula yang menghuni tangga tercorot tentu mahu menyaingi Olimpik 2000 yang mempunyai jumlah mata yang sama.

Kemenangan sulung yang diraih Selasa lalu tentu menjadi pencetus semangat untuk mengatasi Perak, pasukan yang kini dilanda masalah pemain utama yang digantung oleh pengurusan skuad Seladang.

Persembahan kurang menyerlah Perak di gelanggang sendiri pada perlawanan sebelum ini apabila kecundang 1-2 kepada Pulau Pinang, mungkin memberi ruang buat Kuala Lumpur mencuri tiga mata.

Perlis yang mengatasi Brunei 3-1 Selasa lalu, pasti mahu memperbaiki kedudukan dan cabaran Olimpik 2000 harus dikekang untuk mengelak malu ditewaskan skuad muda di gelanggang sendiri.

Apa pun, semua pertemuan malam ini disifatkan getir buat semua pasukan yang kini cuba mencari mata untuk memperkukuhkan lagi kedudukan masing-masing.

Oleh: JOHARI SYAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Js0Oq0mN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan