Isnin, 11 Disember 2017

Tok Gajah berteka-teki jurulatih baru

ARKIB : 15/10/2008
Oleh YUSRI SAHAT
KUANTAN - Prestasi suram Pahang dalam kempen Liga Malaysia musim lalu memerlukan pengurusan bola sepak negeri mengambil beberapa tindakan drastik untuk mengembalikan semula kegemilangan pada tahun depan.

Namun, sehingga kini, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) masih membisu terutama tentang kedudukan jurulatih pasukan yang sebelum ini disandang oleh Zainal Abidin Hassan.

Difahamkan, Zainal Abidin bakal diserapkan ke dalam pasukan kelab Shahzan Muda sebagai pengurus manakala rakan seperjuangannya, Dollah Salleh yang sebelum ini menjadi jurulatih Selangor dilantik sebagai jurulatih baru kelab itu.

Sebelum ini, Shahzan Muda dilatih oleh Tajuddin Nor yang kini dikaitkan akan menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Zainal Abidin.

Sumber-sumber lain turut menyebut Yunus Alif yang kini menjadi jurulatih Terengganu mungkin dipanggil balik ke Pahang.

Bagaimanapun, sumber-sumber PBNP tidak dapat mengesahkan spekulasi tersebut.

Setiausaha PBNP, Ahmad Nazri Mohd. Noor baru-baru ini memberitahu bahawa satu mesyuarat berhubung kedudukan jurulatih dan barisan pemain Pahang akan diumumkan Presiden, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat ini.

Berdasarkan prestasi yang kurang memberangsangkan itu juga, beberapa pemain tonggak Pahang dikatakan bakal berhijrah ke negeri lain.

Beberapa negeri lain juga dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain Pahang terutama Terengganu yang dikatakan cuba memancing anak negerinya untuk kembali ke skuad Penyu.

Dalam skuad Pahang sahaja, terdapat lima pemain yang berasal dari Terengganu iaitu Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Wan Iqbal Suhaimi, Shamsuri Mustaffa, Subri Sulong dan Nurfazli Alias.

Dalam kancah Liga Super musim lalu, Pahang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan apabila menduduki tangga kelapan daripada 13 pasukan.

Dalam persaingan Piala FA pula, Pahang hanya menamatkan saingan di peringkat suku akhir.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50wF6x4Jb

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan