Khamis, 14 Disember 2017

Pahang mahu terus kekal dalam Liga Super

ARKIB : 31/12/2008
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
KUANTAN - Menjelang Liga Super musim depan, Pahang meletakkan harapan untuk terus berada dalam saingan liga itu walaupun mengakui kekuatan pasukan tersebut masih belum mencapai 100 peratus.

Jurulatih Pahang, Tajuddin Nor berkata, bukan tidak yakin dengan barisan pemain yang ada, sebaliknya hampir 95 peratus barisan pemain yang ditampilkan rata-ratanya masih belum mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Super.

''Mereka memang kurang dari segi pengalaman, namun saya kira mereka masih boleh beri tentangan hebat kepada lawan yang lebih berpengalaman.

''Jika kita peroleh kejayaan bagi musim akan datang, saya anggap ia sebagai bonus kepada pasukan kami," katanya di Kuantan semalam.

Bagi musim baru ini, Pahang menyenaraikan dua pemain luar dan selebihnya adalah pemain tempatan dengan sebahagiannya pernah menyarung jersi Shahzan Muda musim lalu.

Katanya lagi, walaupun skuad Tok Gajah itu dibarisi pemain kurang berpengalaman, itu bukanlah satu cabaran besar baginya untuk mengendalikan skuad itu.

Mengenai persiapan Pahang menjelang perlawanan pembukaan Liga Malaysia 3 Januari ini, Tajuddin berkata, pasukannya telah bersedia dari segi fizikal dan mental.

''Sebelum ini kita dah adakan tujuh perlawanan persahabatan, tiga daripadanya kita menang, masing-masing dua seri dan satu tewas.

''Berdasarkan keputusan itu, saya berpuas hati dengan prestasi pemain, saya percaya mereka juga sudah bersedia menghadapi cabaran getir," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51FRY9kUH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan