Rabu, 20 Disember 2017

Pahang lancar misi 'Mesti menang!'

ARKIB : 14/02/2009
Oleh YUSRI SAHAT
sukan@utusan.com.my
KUANTAN - 'Mesti menang!'. Ungkapan itu merupakan kata dua daripada jurulatih Pahang, Tajuddin Nor (gambar) dalam menghadapi saingan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam ini.

Sebabnya mudah... jika ia tidak berlaku, Pahang bakal menjadi penghuni kedudukan tercorot Liga Super.

Misi 'mesti menang' itu diterapkan dalam jiwa setiap pemain supaya mereka memberi fokus dan bersungguh-sungguh mencapai kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Meskipun menentang pasukan tercorot, Pahang tidak seharusnya memandang ringan perlawanan tersebut kerana PDRM juga berazam tidak mahu dilabelkan pasukan paling lemah.

Berdasarkan perlawanan sebelum ini, Tajuddin telah mengenal pasti beberapa kelemahan terutama di jentera serangan yang menjadi punca kegagalan anak buahnya merobek gawang lawan.

Sehubungan itu, beliau memberi tumpuan kepada penajaman jentera serangan dalam usaha menerobos kubu pertahanan lawan.

''Berdasarkan pemerhatian saya, pemain Pahang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beraksi dengan baik pada permulaan saingan Liga Super musim ini.

''Bagaimanapun, saya dapati masih terdapat kelemahan terutama di bahagian serangan yang menghalang kami untuk mencatat kemenangan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Pada sesi latihan selepas pertemuan dengan Kuala Muda (KM) Naza baru-baru ini, beliau telah mengadakan ujian rapi bagi memantapkan bahagian serangan tanpa meminggirkan kepentingan jentera pertahanan untuk mengekang asakan lawan.

"Saya sudah memastikan mereka menerima latihan secukupnya sebelum perlawanan bertemu PDRM untuk merebut tiga mata penting.

''Ini kerana ketika Pahang tewas 1-2 kepada KM Naza dahulu, kita banyak memperoleh peluang tetapi gagal disempurnakan dengan sebaik-baiknya," katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51oUAGxzc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan