Khamis, 14 Disember 2017

Pahang intai kemenangan pertama

ARKIB : 03/01/2009
Oleh YUSRI SAHAT
KUANTAN - Walaupun dilabelkan sebagai pendatang baru Liga Super musim ini, Pahang tetap mengimpikan kemenangan pertama walaupun hampir 100 peratus pemain yang beraksi musim ini merupakan muka baru.

Malah di atas kertas, perbandingan antara pasukan Pahang dengan Johor FC tampak bagaikan tidak seimbang ekoran kurang pengalaman dalam kancah Liga Super.

Bagaimanapun, aksi di atas padang selama 90 minit pada perlawanan pembuka tirai Liga Super ketika menentang Johor FC di Stadium Darul Makmur malam ini bakal menentukan sejauh mana kekuatan bakat muda skuad Tok Gajah itu.

Bagi jurulatih Pahang, Tajuddin Nor, segalanya terserah kepada anak-anak buahnya untuk membuktikan kehadiran mereka dalam saingan Liga Super bukan untuk 'suka-suka' atau melengkapkan jadual perlawanan.

Bertemu Johor FC yang dibarisi pemain berpengalaman mungkin merupakan tugas berat buat anak buah Tajuddin untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

Tegasnya, beliau telah melakukan yang termampu dengan menyenaraikan pemain terbaik untuk menjadikan Pahang sebuah pasukan mantap pada musim ini.

''Kini, terserah kepada pemain untuk meraih kejayaan pada musim pertama mereka beraksi dalam Liga Super berbanding pemain Johor FC yang sudah beraksi sejak beberapa musim.

''Namun, jika dilihat prestasi, saya percaya mereka mampu memberi tentangan kepada lawan atau sekurang-kurangnya meraih mata sebagai penyuntik semangat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Musim ini, Pahang hanya menyenaraikan dua pemain luar iaitu dari Kuala Lumpur manakala selebihnya merupakan anak tempatan.

Sebahagian pemain terbabit pernah menyarung jersi Shahzan Muda pada musim lalu.

Sementara itu, pengurus pasukan, Che Nasir Salleh meminta penyokong Pahang datang beramai-ramai ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Tok Gajah walaupun dibarisi pemain muda.

''Sokongan penyokong amat diperlukan untuk memberi semangat kepada pemain dalam usaha mengembalikan kegemilangan Pahang yang pernah muncul sebagai pasukan digeruni.

''Jika dilihat komitmen di kalangan pemain, saya percaya mereka akan mempamerkan permainan mantap untuk meraih kemenangan pertama sebagai penyuntik semangat dalam saingan Liga Super," katanya



SUMBEEArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51H3W31dk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan