Selasa, 12 Disember 2017

Pahang dapatkan khidmat pemain luar

ARKIB : 03/11/2008
KUANTAN - Pahang akan mendapatkan khidmat beberapa pemain luar untuk skuad Tok Gajah walaupun sebelum ini menetapkan 90 peratus daripada pemain perlu terdiri daripada anak jati negeri itu. lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Pengurus Pahang, Che Nasir Salleh bagaimanapun berkata, semuanya bergantung kepada sesi pemilihan yang dikendalikan jurulatih pasukan itu, Tajuddin Nor.

''Memang sebelum ini kita menetapkan bahawa 90 peratus pemain perlu berasal dari Pahang, namun itu tidak bermakna kita tidak terima pemain luar.

''Peluang masih terbuka buat yang berminat beraksi dengan Pahang, dengan syarat mereka harus hadir sesi pemilihan yang kita buat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut beliau, bagi menghadapi musim depan, skuad yang pernah dibimbing pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hasan pada musim lalu itu telah pun mula berlatih sejak pertengahan bulan lepas.

Katanya, para pemain yang menyarung jersi Pahang perlu lebih bersedia di samping tidak mudah mengalah walaupun rata-rata mereka terdiri daripada bekas pemain kelab Shahzan Muda yang mungkin kurang pengalaman beraksi di liga utama.

''Sebelum ini kebanyakan mereka beraksi di Liga Perdana, jadi peluang pertama menyertai Liga Super mungkin merupakan pengalaman baru.

''Namun itu bukan alasannya, mereka perlu lebih komited dan bersungguh-sungguh bagi membuktikan pemain muda seperti mereka mampu menggalas tanggungjawab yang diberi," ujarnya.

Untuk musim depan, skuad Tok Gajah bakal dibimbing bekas jurulatih Shahzan Muda, Tajuddin, bagi menggantikan Zainal Abidin yang dipilih sebagai pengurus baru Shahzan Muda.

Bagi musim 2007-2008, Pahang sekadar berada di tangga kelapan daripada 13 pasukan dengan kutipan 30 mata sekali gus dan hanya layak ke suku akhir Piala FA.

Sementara bagi saingan Piala Malaysia, skuad itu hanya melengkapkan saingan Kumpulan C selepas impian ke suku akhir piala itu gagal kerana hanya menduduki tangga keempat daripada enam pasukan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz512cSWHNj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan