Isnin, 11 Disember 2017

Pahang minat dapatkan Yunus Alif

ARKIB : 16/10/2008
KUANTAN - Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengesahkan bekas jurulatih Terengganu, Yunus Alif antara calon yang disenaraikan untuk membimbing skuad Pahang pada kempen Liga Malaysia musim depan.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang perbincangan antara PBNP dengan Yunus yang telah tamat kontrak dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung perkara tersebut.

Timbalan Presiden PBNP, Datuk Muhammad Safian Ismail ketika dihubungi mengesahkan, bahawa Pahang berminat untuk mendapat semula khidmat Yunus yang sebelum ini pernah membimbing skuad Tok Gajah.

PBNP juga, kata beliau, belum mengadakan mesyuarat berhubung kedudukan jurulatih yang dikosongkan Zainal Abidin Hassan yang dilantik sebagai pengurus kelab Shahzan Muda bagi musim depan.

Menurut beliau, Yunus merupakan antara tiga calon yang bakal mengisi kekosongan itu selain bekas jurulatih Shahzan Muda, Tajuddin Nor yang turut disebut-sebut menjadi jurulatih Pahang.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan seorang lagi calon yang disenaraikan sebagai calon jurulatih Pahang.

''Kita belum membuat sebarang keputusan mengenai calon jurulatih Pahang tetapi kita ada tiga nama termasuk Yunus dan Tajuddin," katanya.

Utusan Malaysia dalam ruangan sukannya hari ini menyebut Tajuddin dan Yunus merupakan dua calon disebut-sebut sebagai jurulatih Pahang walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara tersebut.

Kontrak Yunus selama dua tahun dengan PBSNT sebagai jurulatih tamat pada pertengahan musim lalu dan sehingga kini pengurusan persatuan itu belum memperbaharui kontraknya.

Berhubung kedudukan pemain, Muhammad Safian memberitahu, PBNP tidak mempunyai masalah untuk melepaskan pemain-pemain tonggaknya jika ada pasukan lain yang berminat.

''Kalau kena dengan syaratnya, kita sedia menimbang untuk melepaskan pemain-pemain kita ke negeri lain," ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, pihaknya belum menerima sebarang tawaran dari pasukan lain untuk mendapatkan khidmat pemain Pahang walaupun ada laporan mengatakan Terengganu berminat memanggil semula anak-anak negerinya pada musim akan datang.

Enam pemain utama Pahang berasal dari Terengganu ialah Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Wan Iqbal Suhaimi, Shamsuri Mustaffa, Subri Sulong dan Nurfazli Alias.

PBNP juga, katanya, belum membuat sebarang keputusan untuk mendapatkan khidmat pemain dari negeri lain sebaliknya lebih mengutamakan pemain sedia ada pada musim depan.

Namun, jelas beliau, segalanya bergantung kepada keputusan mesyuarat PBNP yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz50wSI8SmH

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan