Khamis, 14 Disember 2017

Pahang mahu tampil selaku bukan pilihan

ARKIB : 02/01/2009
KUANTAN - Pahang akan membuka tirai Liga Super dengan melayan pasukan Johor FC di Stadium Darul Makmur, esok dengan mengambil sikap menghormati pasukan lawan, lapor YULPISMAN ASLI.

Meskipun telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim baru ini, skuad Tok Gajah tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang dalam perlawanan pembukaan itu nanti.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, walaupun tetap mengharapkan tiga mata penuh, harapan yang tinggi untuk menang tidak disandarkan kepada pemain yang rata-ratanya masih muda dan kurang berpengalaman.

''Kita (Pahang) merupakan pasukan underdog. Jika menang, ia merupakan satu bonus," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Muhammad Safian, semua pemain Pahang menunjukkan semangat yang tinggi untuk menghadapi saingan pada musim kali ini menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan sebelum ini.

''Walaupun Pahang dibarisi pemain muda, kita akan cuba mencipta kejutan dalam semua pertemuan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap penyokong turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu ketika Pahang menentang Johor FC, Sabtu ini.

Menerusi barisan pemain muda, Muhammad Safian menambah, pihaknya berazam untuk mengembalikan kegemilangan skuad Tok Gajah dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Justeru katanya, pembentukan satu pasukan yang mantap dengan dianggotai sepenuhnya pemain tempatan harus dimulakan dari sekarang.

Mengulas peraturan yang tidak lagi membenarkan pemain import beraksi dalam liga tempatan pada musim ini, katanya, perkara itu perlu dilihat dari sudut positif.

Menurut Safian, PBNP banyak belajar daripada pengalaman lalu apabila terpaksa berbelanja besar membawa masuk pemain import.

''Bagaimanapun, hasil yang kita peroleh tidak seberapa. Maka, lebih baik kita gunakan wang yang ada untuk membentuk pasukan yang menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya," jelasnya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz51GxB7mUm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan