Sabtu, 19 Oktober 2019

Pemain belum memahami gerakan masing-masing


ARKIB : 13/04/1998

LINCAH... Pemain import Pahang, Viatcheslav Melnikov (tengah) berjaya memboloskan diri walaupun dikawal rapi pemain Sarawak pada perlawanan liga Perdana Satu, kelmarin. Pahang menang 2-1.


KEJAYAAN Pahang mengetepikan juara Piala Sumbangsih, Sarawak walaupun telah memberi kegirangan kepada para pemain dan penyokongnya, tetapi ia tidak dirasai oleh jurulatihnya, Jorgen Erik Larsen, lapor ZULKEFLI HAMZAH.
Tidak lebih daripada itu, bagi Larsen, kemenangan 2-1 tersebut hanya merupakan satu kejayaan yang memberikan tiga mata penuh iaitu kemenangan dua kali berturut-turut skuad Tok Gajah.
''Apa yang saya idamkan ialah komitmen pemain di atas padang dengan persembahan yang lebih agresif,'' katanya di Kuantan semalam.
Sebaliknya, kata Larsen, apa yang berlaku ialah persembahan hambar terutama pada separuh masa pertama walaupun Tok Gajah bermain di gelanggang sendiri dengan iringan sorakan lebih 20,000 penonton.
Pada separuh masa pertama, ujarnya, Pahang bermain sambil lewa dengan banyak bola berlegar di kawasan lawan tanpa mampu memanfatkan sekurang-kurangnya empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
Larsen menyatakan faktor keserasian pemain import utamanya iaitu Jozsef Duro dan Melnikov Viatcheslav masih kurang memahami gerakan masing-masing sebagai puncanya.
''Contohnya apabila Duro selaku pemain tengah membuat hantaran, Melnikov masih berada pada kedudukan tidak bersedia untuk menyambutnya,'' katanya.
Insiden seperti itu, ujarnya, banyak kali berlaku sehinggakan Pahang gagal membuat sebarang jaringan pada separuh masa pertama.
Kedua-dua pemain itu, tegas Larsen, mempunyai tanggungjawab besar untuk mengikat satu persefahaman bagi menghasilkan sesuatu kepada skuad Tok Gajah.
''Ini merupakan satu cabaran besar kepada Melnikov dan Duro yang masih baru dengan corak permainan tempatan untuk mencari rumusan terbaik mengatasi kelemahan masing-masing,'' katanya.
Bagaimapun kata Larsen, gol yang dijaringkan oleh Melnikov yang merupakan pemain termahal Pahang dan pertama kali diturunkan dalam saingan Perdana Satu, akan merupakan suntikan keyakinan kepadanya.
Melnikov yang baru sahaja mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) tidak berpeluang beraksi semasa Pahang menentang Sabah pada perlawanan sulungnya.
''Tetapi sekurang-kurangnya Melnikov akan menjadikan jaringan itu sebagai pembuka laluan untuknya menjaringkan gol pada perlawanan akan datang,'' ujarnya.
Bagi Larsen, beliau sebenarnya tidak mengharapkan kemenangan besar kerana Sarawak merupakan pasukan kuat yang baru sahaja mendapat suntikan semangat hasil kemenangan ke atas juara bertahan Piala Malaysia, Selangor.
Namun jaringan Azaruddin Aziz pada minit 47 dan Melnikov (68) sekurang-kurangnya melegakan Larsen untuk membawa Pahang bersama-sama Perak dan Pulau Pinang mengutip enam mata setakat ini.
Pahang akan bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan