Khamis, 24 Oktober 2019

Motivasi tiket final


MyMetroNode
 
 Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Menyedari laluan berliku bakal dihadapi, kapten Pahang Mohd Razman Roslan mahu rakan sepasukan mempamerkan kebangkitan untuk mencatat kemenangan ke atas Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Razman berkata, kekalahan 1-3 pada aksi pertama sudah dilupakan dan semangat juang serta sokongan moral peminat pencetus kebangkitan pasukan demi memastikan kemenangan untuk layak ke final.

Katanya, kekalahan itu tidak perlu dikenang sebaliknya tumpuan kini terarah kepada mempamerkan semangat juang tinggi mencatat kemenangan sekali gus mempertahankan Piala Malaysia.

"Misi kami adalah meraih kemenangan kerana ia peluang untuk layak ke final dan misi mempertahankan piala berprestij itu.

"Kami berjanji beraksi pada tahap terbaik dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

"Segala kelemahan akan segera diperbaiki untuk mengekang asakan lawan dan pada masa sama jentera serangan mempamerkan sentuhan berbisa," katanya.

Razman berkata, kembalinya Dickson Nwakaeme dan Damion Stewart, masing-masing di bahagian serangan dan pertahanan mampu memperkasakan skuad Tok Gajah.

Katanya, prestasi tidak konsisten di semua bahagian diharap tidak berulang kerana Kedah memiliki kelebihan dua gol manakala Pahang pula perlu meraih kemenangan sekurang-kurangnya dua gol.

"Saya harapkan sokongan padu penyokong Pahang memberikan suntikan moral kepada kami merealisasikan impian ke final.

"Tanpa sokongan mereka, Pahang tidak akan mencapai kejayaan pada tahap ini dan sebagai balasannya kami berjanji untuk mempamerkan aksi terbaik," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:02 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan