Rabu, 16 Oktober 2019

LIGA SUPER: Pahang di tangga teratas

MyMetroNode
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my
 
Kuantan: Pahang berjaya mengutip tiga mata penuh sekaligus mengungguli tangga teratas Liga Super buat pertama kali musim ini selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi.

Gol tunggal Pahang dijaringkan oleh penyerang import, Matias Ruben Conti di minit ke-71 menerusi sepakan penalti.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan dilihat saling mengatur serangan bagi mencari gol pendahuluan.

Perak hampir memperolehi gol pada minit ke-19 menerusi pemain import, Charles Souza Chad yang melakukan tandukan selepas menerima hantaran Horace James tetapi percubaannya sedikit melepasi pintu gol.

Peluang terbaik Pahang pula muncul di minit ke-26 apabila Hafiz Kamal mengambil sepakan percuma setelah Dickson Nwakaeme dijatuhkan oleh pemain lawan di luar kotak penalti. Bagaimanapun, tendangan berkenaan ditepis penjaga gol, Muhammad Zamir Selamat.

Babak kedua permainanan menyaksikan pasukan pelawat lebih kerap menggempur kubu Pahang, bagaimanapun ia berjaya diserap dengan baik barisan pertahanan Pahang.

Tok Gajah kemudiannya membalas serangan dan akhirnya usaha Pahang berhasil apabila Matias Conti berjaya meledakkan gol menerusi sepakan penalti di minit ke-71 selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Perak, Muhammad Tuah Iskandar.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 11:37 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan