Isnin, 13 Oktober 2014

Zainal optimis peluang Pahang


 
FAUZI menjadi wira Pahang apabila menjaringkan gol pada masa tambahan ketika menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.

KETUA jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan optimis mengenai peluang skuad kendaliannya pada saingan separuh akhir Piala Malaysia menentang Kedah selepas kehilangan dua tonggak utama yang digantung satu perlawanan.

Beliau yakin keputusan cemerlang yang diraih dalam beberapa perlawanan sebelum ini, mampu diterjemahkan pemain skuad Tok Gajah pada aksi separuh akhir pertama menentang Kedah, 19 Oktober ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dua pemain berkenaan iaitu penyerang, Dickson Nwakaeme dan pemain pertahanan, Damian Delano Stewart dijangka kembali memperkuat skuad Tok Gajah pada aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Oktober depan.

“Sebelum ini, kita menerima pelbagai dugaan termasuk penjaga gol, Mohd. Nasril Nourdin dilayangkan kad merah ketika berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuantan tempoh hari, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid yang masih tidak berapa sihat terpaksa dimasukkan bagi menggantikan tempat Mohd. Nasril.

“Diakui Pahang kita berdepan tugas berat berdepan Kedah (pada separuh akhir pertama) tanpa dua pemain ini, namun saya yakin para pemain dapat melakukan sesuatu,” katanya kepada pemberita.

Pahang mara ke separuh akhir selepas menang agregat 3-2 ke atas PDRM manakala Kedah mengejutkan naib juara 2013, Kelantan menerusi kemenangan agregat 4-3 dalam satu lagi sai­ng­an suku akhir.

Dalam pada itu, Zainal Abidin memuji semangat juang yang dipamerkan barisan pemain yang tidak berputus asa walaupun beraksi 10 pemain selepas Damian diperintah keluar padang oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab kerana mengutip kad kuning kedua.

“Alhamdulillah, mereka telah menjalankan tugas de­ngan baik walaupun separuh masa pertama, corak permainan kita agak terumbang ambing. Saya turut puji (pemain gantian), Mohd. Fauzi Rozlan yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada babak terakhir perlawanan,” ujarnya. – Bernama
 sumber-

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3G2xglCUD kosmo online 14.10.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan