Sabtu, 11 Oktober 2014

Pahang iringi Kedah, Felda United ke separuh akhir

Oleh TAUFIK SALIMIN
taufik.salimin@kosmo.com.my
 
Pemain PDRM Mohamadou Sumareh (tiga kanan) diasak pemain Pahang Mohd. Saiful Nizam semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2014 di Stadium Shah Alam malam tadi.

JUARA bertahan, Pahang mencatat kemenangan dramatik apabila bangkit mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 pada perlawanan suku akhir kedua sekali gus menang dengan agregat 3-2 untuk layak ke saingan separuh akhir Piala Malaysia biarpun bermain dengan 10 pemain.

Skuad Tok Gajah itu akan mengiringi Felda United dan Kedah yang sudah terlebih dahulu mengesahkan slot lapan terbaik sebaik menewaskan lawan masing-masing malam kelmarin.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi, Pahang terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Sang Saka Biru seawal minit ke-17 hasil sepakan percuma yang diambil Ashfaq Ali yang disempurnakan dengan tandukan cantik oleh Mohd. Fauzi Abd Majid.

Tersentak dengan gol itu, Pahang menggandakan asakan dan hampir me­nemui jaringan penyamaan beberapa minit kemudian namun kekebalan penjaga gawang PDRM berjaya menafikan setiap percubaan berbahaya Tok Gajah.

Pahang terpaksa menunggu sehingga minit ke-77 apabila Zesh Rahman menanduk masuk hasil sepakan penjuru untuk Tok Gajah mengikat kedudukan menajdi 1-1.

Kepercayaan jurulatih, Zainal Abidin Hassan dibalas sepenuhnya oleh Mohd. Fauzi Roslan apabila tendangannya pada minit-minit akhir perlawanan mudah menewaskan penjaga gol PDRM, Azizon Abd. Kadir untuk meletakkan Pahang mendahului 2-1.

Tambahan empat minit selepas tamat perlawanan gagal dimanfaatkan PDRM yang akhirnya tersungkur di saingan suku akhir biarpun mempunyai rekod cemerlang sepanjang perlawanan peringkat kumpulan malah diramal bakal menempatkan diri sehingga ke pentas final Piala Malaysia.

Pada saingan separuh akhir, Pahang dijadualkan bertemu Kedah yang menewaskan Kelantan malam kelmarin.sumber

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo online 12.10.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan