Jumaat, 31 Oktober 2014

Zainal: Hadiah buat rakyat Pahang

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Oktober 2014
Zainal dijulang penyokong Tok Gajah selepas pasukan kendaliannya berjaya melangkah ke final Piala Malaysia.
Zainal dijulang penyokong Tok Gajah selepas pasukan kendaliannya berjaya melangkah ke final Piala Malaysia. Zainal dijulang penyokong Tok Gajah selepas pasukan kendaliannya berjaya melangkah ke final Piala Malaysia.

KEJAYAAN Tok Gajah mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini dianggap pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan hadiah untuk rakyat Pahang yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada mereka.

Selepas kembali bangkit meratah Kedah, 5-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir piala berprestij itu di Stadium Darul Makmur di sini kelmarin dengan agregat, 6-3, kemenangan itu juga bermakna berikutan sambutan ulang tahun keputeraan ke-84  Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Zainal berkata,  kejayaan itu sangat bermakna kerana dilakar pada hari istimewa dan di laman sendiri yang dipenuhi lebih 35,000 penyokong Pahang.

Menurutnya, dia bersyukur dan terharu dengan kejayaan itu yang dicapai menerusi komitmen tinggi dan semangat juang anak-anak buahnya yang dinilai cemerlang melaksanakan tugas masing-masing.

“Alhamdulillah, mereka sudah jalankan tugas dengan baik masing-masing dan tidak mensia-siakan peluang yang terhidang sekali gus tidak perlu beraksi hingga ke minit masa tambahan.

“Memang pada separuh babak pertama daripada enam peluang, mereka dapat menyempurnakan empat gol dan ini memberikan kelebihan buat kami,” katanya.

Ditanya jumlah jaringan yang dianggap besar dalam perlawanan itu, bekas pemain kebangsaan itu mengakui tidak terkejut malah yakin dengan keupayaan anak buahnya melakar keputusan sebegitu.

Menurutnya, ketiadaan pemain tengah lawan, Namkung Woong memberikan sedikit kelebihan buat Pahang dan kehadiran dua bintang, Dickson Nwakaeme dan Matias Ruben Conti menambahkan lagi kemantapan buat Tok Gajah.

Dalam pada itu, untuk misi perlawanan akhir musim ini, dia ingin memberikan fokus tinggi untuk persediaan Tok Gajah sebelum final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.

“Hanya tinggal satu langkah untuk mempertahankan Piala Malaysia dan kami ingin mencipta sejarah lagi musim ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber- SINAR HARIAN ONLINE 26.10.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan