Jumaat, 3 Oktober 2014

Felda malukan Selangor di Shah Alam

 
PEMAIN Selangor, Ahmad Hazwan Bakri (tengah) diasak dua pemain Felda, Mohd. Aizul Ridwan (kiri) dan Mohd. Nasriq Baharom dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi
Advertisement

SHAH ALAM - Juara 32 kali Selangor tersembam di laman sen­diri apabila kalah tewas 0-4 di tangan naib juara Liga Perdana, Felda United di Stadium Shah Alam dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia malam tadi.

Pertahanan Selangor ternyata tidak berupaya mengekang pergerakan Ndumba Makeche yang meledak hatrik dengan jaringan pada minit ke-19, 83 dan 85.

Satu lagi gol Felda disumbangkan Edward Wilson Junior pada minit ke-45 hasil hantaran silang Mohd. Raimi Md. Noor.

Bertambah memburukkan keadaan, para penyokong Selangor membaling bom asap pada minit ke-86 yang dijangka akan menyebabkan skuad The Red Giants pasti dikenakan hukuman berat oleh FAM.Sementara itu pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekadar seri tanpa jaringan dengan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mendominasi hampir sebahagian besar aksi babak pertama khususnya pada awal perlawanan, anak buah Abdul Rahman Ibrahim bagaimanapun dihampakan oleh kegagalan rangkaian penyerang mereka menyudahkan peluang, terutamanya menerusi gandingan Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin.

Pelawat yang sesekali mengasak berpeluang mendahului namun benteng pertahanan tuan rumah yang diterajui Vincent Bikana berjaya menidakkan peluang tersebut.

Keputusan seri 0-0 itu bagaimanapun memberi kelebihan kepada JDT yang akan menjadi tuan rumah di Johor Bahru 18 Oktober ini.

Dickson Nwakaeme pula menyelamatkan Pahang yang menempah laluan berduri apabila sekadar seri 1-1 dengan PDRM di Stadium Darul Makmur, yang menyaksikan penjaga gol tuan rumah Nasril Nourdin dibuang padang.

‘Orang besi’ Nwakaeme menja­ringkan gol pada minit ke-55 setelah PDRM terlebih dahulu memperoleh gol pertama minit ke-42 apabila sepakan bebas Charles Souza Chad di luar kotak ditepis penjaga gol gantian Khairul Azhan Mohd. Khalid hanya untuk menyaksikan Fauzi Abd. Majid menyambar bola dan menyepak masuk.

Sepakan bebas itu diperoleh apabila penyerang dari Maldives, Ali Ashfaq dijatuhkan oleh Nasril di luar kotak penalti yang menyebabkan dia dibuang padang.

Kelantan pula meraih bekalan selesa untuk ke Alor Setar nanti apabila menewaskan Kedah 3-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV apabila Francis Forkey Doe menjaringkan dua gol.

Beraksi dalam keadaan hujan renyai di hadapan lebih 25,000 penyokong setia, Kelantan bermula garang apabila berjaya mendahului Kedah seawal minit ketujuh hasil jaringan Forkey Doe yang tenang menanduk masuk bola menerusi sepakan penjuru ketua pasukan Mohd. Badri Radzi.

Forkey Doe sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah dengan mele­dakkan gol kedua pada minit ke-24 dan semakin selesa 15 miinit selepas rehat apabila Ahmad Fakri Saarani meledakkan gol ketiga pada minit ke-60 menerusi tandukan terbang untuk menyambut umpanan Mohd. Badhri Radzi.

Kedah berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-70 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti oleh pemain gantian, Syafiq Ahmad. Jaringan tersebut menyuntik semangat pelawat yang terus mengasak sehingga hampir memperolehi gol kedua pada minit ke-79 namun rembatan kencang Baddrol Baktiar dari luar kotak penalti ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat.
Sumber-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20141004/su_06/Felda-malukan-Selangor-di-Shah-Alam#ixzz3F7tYBYKK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan