Isnin, 5 April 2021

Tok Gajah elak tragedi hitam berulang

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 05 April 2021




Dollah berazam pacu Tok Gajah kembali di landasan sebenar dalam mengharungi saingan Liga Super musim ini. -Foto Sri Pahang FC
PENGENDALI Pahang FC, Dollah Salleh tidak mahu terlalu awal mengibar 'bendera putih', sebaliknya berazam memacu Tok Gajah kembali berada dalam laluan yang betul bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.
Dengan hanya meraih satu kemenangan dan menduduki tangga kedua terakhir, Dollah tampak berada dalam situasi sukar untuk kembali menaikkan semangat Sri Pahang FC menjelang aksi menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa.
“Memang sebelum saya ambil (alih Sri Pahang FC) sudah nampak bermasalah. Sekarang dalam fikiran saya hanya tidak mahu pasukan jatuh ke Liga Premier, itu sahaja sasaran paling realistik yang saya rasa sesuai buat pasukan buat masa ini.
“Hampir 70 hingga 80 peratus pemain utama kami telah keluar. Situasi itu sememangnya cukup sukar memandangkan pemain-pemain utama yang kami ada sekarang bukanlah terdiri daripada mereka yang selalu bermain dalam Liga Super.
“Pemain import, Lee Tuck juga tidak banyak membantu sekali gus meletakkan pasukan ini bertambah parah serta sukar bagi memberi cabaran kepada pasukan lain,” katanya.
Kemenangan tunggal Sri Pahang setakat ini ialah semasa menewaskan Sabah FC 2-1 di laman sendiri selain satu lagi mata dikutip ketika mengikat Melaka United FC dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Hang Jebat.
“Kami kena berjuang apa jadi sekalipun dan saya selalu berpesan kepada pemain untuk sentiasa menunjukkan karakter menang biarpun perbandingan dengan pasukan lain agak jauh.
“Jangan tunjukkan yang kita lemah dan sudah berputus asa sebelum masuk padang, perkara itu hanya akan membuatkan pasukan lawan lagi berasa yakin untuk tewaskan kami,” ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/132123/BERITA/Sukan/Tok-Gajah-elak-tragedi-hitam-berulang© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan