Sabtu, 17 April 2021

JDT tambah derita Sri Pahang

Asrol Awang

am@hmetro.com.my





Leandro (kiri) meraikan jaringan JDT bersama rakan sepasukan pada aksi berdepan Sri Pahang. FOTO JDT

Kuantan: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Selaku pendahulu liga, JDT memulakan perlawanan itu dengan melancarkan serangan awal ke kubu tuan rumah.

Biarpun JDT dilihat memberi tekanan kepada tuan rumah, pasukan bimbingan Dollah Salleh itu berjaya menyekat serangan JDT terutama di kawasan kotak penalti.

Tuan rumah yang jarang mendapat peluang hampir menjaringkan gol daripada Shahrul Nizam Mohd Nadzir tetapi bola sepakan pemain tengah itu berjaya ditepis penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias pada minit ke-20.

Tiga minit kemudian, Leandro Sebastian memastikan JDT mendahului 1-0 menerusi jaringannya selepas menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin.

Bersambung babak kedua, tuan rumah berusaha mencari gol penyamaan dan peluang terbaik hadir menerusi Baqiuddin Shamsudin tetapi bola melepasi palang gol JDT pada minit ke-58.

Minit ke-69, Sri Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Mohamad Ezanie Mat Salleh dilayangkan kad merah kerana mengutip dua kad kuning.

Kekurangan seorang pemain menyaksikan JDT berjaya menjaringkan gol kedua hasil sumbangan penyerang import, Bergson Gustavo pada masa kecederaan.

SUMBER-Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 12:14am


Tiada ulasan:

Catat Ulasan